RM2.6 juta nilai pertaruhan Piala Dunia FIFA 2026 dirampas

Iklan
M Kumar berkata, PDRM akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.

KUALA LUMPUR – Seramai 234 individu tempatan dan 97 warga asing diberkas selain RM2.62 juta nilai pertaruhan dirampas menerusi Op Soga XI yang dilaksanakan di seluruh negara bagi membanteras kegiatan pertaruhan haram sepanjang Piala Dunia FIFA 2026 ketika ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi yang bermula 11 Jun lalu hingga 19 Julai depan itu menyasarkan kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen serta perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sepanjang kejohanan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 293 serbuan telah dijalankan dengan 331 suspek ditahan membabitkan 312 lelaki dan 19 wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.

"Dalam operasi sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM145,005.09 serta merekodkan nilai pertaruhan sebanyak RM2,625,529.46," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemantauan sepanjang operasi itu turut mengesan 185 laman sesawang termasuk laman web, platform, aplikasi dan media sosial yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan kegiatan perjudian.

Katanya, tindakan menyekat laman web dan menurunkan kandungan berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Iklan

"Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 serta Akta Imigresen 1959/63, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.

M Kumar berkata, PDRM akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan selain memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras sindiket pertaruhan haram yang semakin aktif menggunakan platform digital.