Bendera, papan calon PH di Mengkibol dirosakkan

Iklan
Chu Poh Yee (kiri) menunjukkan bahan kempen yang dirosakkan. - Foto FB Chu Poh Yee

KLUANG – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian merosakkan bahan kempen membabitkan bendera dan papan gambar calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan pihaknya menerima laporan pada jam kira-kira 10.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Butiran barang rosak merupakan 10 bendera parti dan tiga papan gambar calon mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Polis sedang mengesan individu yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya lagi.

Sementara itu, calon PH, DUN Mengkibol, Chu Poh Yee, mengecam tindakan merosakkan bendera dan bahan kempen parti, sambil menyeru semua pihak berkempen secara matang sepanjang PRN Johor.

Iklan

“Bendera boleh tumbang, tetapi nilai hormat jangan sesekali hilang.

“Di sebalik setiap bendera, ada usaha sukarelawan yang bekerja keras. Berbeza pendapat itu perkara biasa, tetapi merosakkan hasil usaha orang lain bukan caranya.

“Kalau ada penyokong saya yang melakukan perkara sama kepada pihak lain, saya juga akan mengecamnya,” katanya dalam muat naik di laman Facebooknya.