KLANG - Sindiket pemalsuan cap keselamatan dan dokumen perjalanan tumpas selepas seorang wanita warga India disyaki dalang dicekup dalam serbuan pada Sabtu lalu.
Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, suspek wanita terbabit didapati merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang kepada seorang warga tempatan.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut selama kira-kira tiga tahun.
"Pelanggan akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ditempatkan di sebuah rumah transit di Klang selama satu hingga dua minggu.
"Sepanjang tempoh tersebut, suspek menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan (travel history) bagi menggambarkan pelanggan mempunyai sejarah perjalanan yang kukuh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, selain itu, sindiket turut menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang palsu.
Katanya, dalam operasi Op Serkap ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor telah menahan seramai 12 warganegara asing, antaranya dari India, Bangladesh dan Sri Lanka.
"Kesemua tangkapan berusia 25 hingga 40 tahun telah ditempatkan di depot imigresen bagi tujuan siasatan lanjut," ujarnya.
Tegasnya, JIM Selangor sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara.
"JIM memberi amaran tegas bahawa sebarang aktiviti pemalsuan dokumen, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta cubaan mendapatkan visa menggunakan dokumen palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang negara.
"Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan negara serta memelihara integriti sistem imigresen Malaysia," ujarnya.