Rayuan Rosmah dalam kes projek solar bermula Rabu

Iklan
Rosmah Mansor

PUTRAJAYA - Selepas rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan dana Armada, satu lagi kes berprofil tinggi akan berlangsung di Mahkamah Rayuan di sini Rabu ini.

Kes berkenaan membabitkan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta selepas didapati bersalah dalam kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak. Pendengaran rayuan itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim dijangka mendengar rayuan isteri bekas Perdana Menteri berusia 75 tahun itu bermula 1 hingga 3 Julai.

Sebelum ini, peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, selain rayuan terhadap sabitan dan hukuman, anak guamnya turut memfailkan permohonan semakan semula.

Iklan

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini menolak permohonannya untuk menggugurkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan mengendalikan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, selepas memutuskan tiada kekhilafan yang mewajarkan campur tangan mahkamah.

Iklan

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan diputuskan.

Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh projek terbabit.

Beliau turut disabitkan menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016 serta RM1.5 juta di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.