PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, selebriti, tokoh politik dan pempengaruh media sosial antara individu yang ditahan kerana culas membayar cukai jalan dan insurans yang sah ketika menggunakan kenderaan mewah di jalan raya.
Difahamkan antara sebab perkara itu berlaku ialah kerana menganggap bayaran kompaun sebanyak RM300 lebih rendah daripada memperbaharui cukai jalan dan insurans.
Selain itu, ada yang memberi alasan terlupa dan pemilik kenderaan mempunyai tunggakan saman.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, anggapan bahawa membayar kompaun lebih rendah berbanding memperbaharui cukai jalan dan insurans adalah satu kesilapan besar.
“Pemilik kereta ingat lebih mudah membawa kenderaan ini tanpa cukai jalan kerana kalau ditahan, mereka hanya bayar kompaun RM300 sahaja.
“Tetapi apabila kami mengambil tindakan menyita kenderaan itu, kami akan arahkan pemilik ini lunas dahulu bayaran cukai jalan sebelum kenderaan dilepaskan. Di sini baru timbul kesedaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut tentang alasan terlupa bayar, beliau berkata, adalah satu perbuatan yang disengajakan.
“Alasan terlupa ini sebenarnya sangat lapuk kerana ada antara kes yang kita tahan, cukai jalan sudah tamat tempoh sejak tahun 2014. Jadi, lupa apa? Ada tahun 2020, 2021, 2022 dan 2023, jadi bagi kami ini adalah disengajakan,” ujarnya.
Tambah Muhammad Kifli lagi, faktor tidak perbaharui cukai dalan dan insurans kerana telah disenaraihitam kini menjadi satu trend.
“Kebanyakan saman tertunggak melibatkan kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS). Ini yang paling banyak.
“Mana-mana pemilik atau pemandu yang mempunyai saman AWAS, jika tidak membayar dalam tempoh tiga bulan dan tidak hadir ke mahkamah, saman tersebut secara automatik disenaraihitamkan,” ujarnya.
JPJ ada senarai pemilik culas
Menurut beliau, JPJ bukan berniat mencari kesalahan, sebaliknya mahu memberi kesedaran bahawa cukai jalan dan insurans sah merupakan kewajipan semua pemilik kenderaan.
“Sekiranya belum tertangkap, saya tegaskan di sini, JPJ sentiasa pantau, memerhati dan akan mengambil tindakan terhadap semua pemandu dan pemilik menggunakan kenderaan di jalan raya, tidak kiralah mereka itu pemandu kenderaan biasa atau mewah.
“Bagi Op Luxury, sebenarnya kami sudah ada senarai pemandu atau kenderaan tidak memperbaharui cukai jalan,” ujarnya.
Muhammad Kifli berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan pihaknya secara berhemah dan tindakan bukan melalui sekatan jalan raya, sebaliknya rondaan menggunakan peralatan serta aplikasi khas.
“Anggota akan mengenal pasti kenderaan yang disyaki dengan melakukan pemeriksaan. Apabila didapati cukai jalan dan insurans tamat tempoh, kenderaan ini akan dihentikan di tempat selamat dan kesalahan akan diterangkan.
“Memang ada segelintir pemandu yang tidak berpuas hati dan ada yang cuba menafikan, tetapi apabila kami terangkan kesalahan, mereka memahaminya dan memberikan kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ telah melaksanakan Op Luxury di seluruh negara bermula 1 Julai tahun lalu.
Operasi penguatkuasaan bagi tempoh sehingga September lepas merekodkan sitaan sebanyak 3,835 kenderaan mewah dengan nilai melebihi RM550 juta.
Tindakan denda dan kompaun turut memberikan hasil kepada kerajaan berjumlah lebih RM35 juta.
Menurut Muhammad Kifli, berdasarkan statistik, tiga jenis kenderaan mewah paling banyak disita ialah Toyota iaitu 720 buah, diikuti Mercedes-Benz (655 buah) dan BMW (504 buah).
“Ini adalah tiga kategori teratas... kemudian keempat ialah Audi (94 buah), manakala Porsche sebanyak 82 buah.
“Kita ada sitaan lebih kurang 142 buah kenderaan mewah dikategorikan kereta super iaitu Ferrari, Bentley, Lamborghini, Aston Martin dan Rolls-Royce,” jelas beliau.
Op Luxury bertujuan untuk memberikan gambaran kepada masyarakat mengenai pengguna atau pemilik kenderaan mewah yang menggunakan kenderaan di jalan raya tanpa memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta insurans yang sah.
Jelasnya, terdapat tiga kategori bagi Op Luxury iaitu pertama, kereta super yang bernilai melebihi RM1 juta.
Tambah Muhammad Kifli, kategori kedua ialah kereta mewah yang berharga antara RM250,000 hingga RM1 juta.
“Ketiga ialah kereta super atau mewah yang mempunyai cukai jalan tetapi membayarnya bukan di tempat yang sepatutnya.
“Contohnya, kenderaan tersebut berada di Semenanjung tetapi menggunakan cukai jalan di Labuan, Sabah atau Sarawak,” ujarnya.
Katanya, kenderaan paling mahal disita ialah sebuah McLaren edisi terhad yang dipercayai mempunyai harga pasaran semasa mencecah hampir RM9 juta ketika itu.
“Kenderaan mahal lain ialah Rolls-Royce Ghost, Lamborghini... kebanyakan kenderaan yang kita sita di bawah kategori kereta super, harganya lebih RM1 juta, ada yang RM5 juta hingga RM6.5 juta. Memang itu ialah harga-harga yang orang kata golongan kayangan.
“Bagi cukai jalan yang perlu diperbaharui pula, ada yang bernilai hingga RM52,000, tidak termasuk insurans,” ujarnya.