SUNGAI PETANI - Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 94 Lebuhraya Utara-Selatan pada Ahad yang menyebabkan seorang pemandu wanita tersepit dipercayai berpunca daripada kerosakan pada kenderaan mangsa.
Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi dikatakan berhenti di lorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebuah kenderaan jenis Toyota Noah kemudian tiba di lokasi dan memberhentikan kenderaan di hadapan Perodua Myvi tersebut.
“Ketiga-tiga kenderaan terbabas ke bahu jalan. Pemandu Perodua Myvi, seorang wanita berusia 56 tahun mengalami kecederaan parah akibat tersepit dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani,” katanya.
Menurut Hanyan, pemandu dua kenderaan lain serta lima lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Hijau hospital sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.