SHAH ALAM - Lantikan Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dilaksanakan secara bebas daripada campur tangan Istana Seri Menanti.
Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Biduanda Dua Carak, Datuk Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, berdasarkan Adat Perpatih, pemilihan Undang Luak Rembau adalah hak milik eksklusif Luak Rembau sendiri melalui proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang campur tangan istana dalam pemilihannya.
Menurutnya, Undang ke-21, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, telah meninggal dunia pada 15 Mei 2024, menyebabkan kekosongan jawatan Undang Luak Rembau.
"Mengikut proses Adat Perpatih yang lazim diamalkan, hak untuk memilih Undang baharu terletak pada anak Waris Biduanda, Buapak dan Ibu Soko Waris Biduanda Nan Dua Carak melalui kerapatan.
"Setelah kerapatan diadakan, Buapak dan Ibu Soko Waris Biduanda Nan Dua Carak telah memilih Hassan Ab Hamid, seorang guru bersara yang disegani, sebagai Undang ke-22.
"Kami kemudiannya menghadap ke istana untuk memohon perkenan bagi penetapan tarikh Istiadat Kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, Istiadat Kejadian Undang Luak Rembau telah diperkenankan dan tarikh ditetapkan untuk Istiadat Menyalang bagi menzahirkan kejadian Undang untuk bakal Undang Luak Rembau di Istana Seri Menanti.
Menurutnya, sistem Adat Perpatih meletakkan kuasa adat bermula daripada akar masyarakat, manakala Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertindak sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan adat dan institusi negeri.
"Kami juga ingin menjelaskan di sini bahawa Abdul Rahim Yasin yang menggelarkan dirinya sebagai Undang Luak Rembau ke-22 adalah tidak sah.
"Ini kerana, selain beberapa ketidakpatuhan terhadap adat dalam proses dan tatacara pemilihannya, beliau tidak memenuhi syarat untuk menyempurnakan pelantikannya menerusi Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang oleh Yang di-Pertuan Besar.
"Justeru, lantikan beliau tidak diiktiraf di bawah adat," katanya.
Menurutnya, dengan Kejadian Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid akan mempertahankan dan memelihara kepatuhan terhadap Adat Perpatih negeri serta memastikan keharmonian antara Undang, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut berharap Kejadian Undang Luak Rembau berkenaan membuka lembaran baharu demi memartabatkan Adat Perpatih serta mengakhiri sebarang spekulasi yang tidak sewajarnya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Sabtu berkenan menzahirkan Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dengan gelaran Datuk Sedia Raja.
Sebelum itu, Hassan dan isteri, Asmah Yaakob, diarak bersama kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Rembau ke istana dengan paluan kompang sebelum Orang Empat Istana tampil membawa tepak sirih menghadap Tuanku Muhriz bagi memohon perkenan baginda untuk memulakan istiadat.