Enam pelajar senior ditahan disyaki buli, peras ugut pelajar 14 tahun hingga berhenti sekolah

Iklan
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU - Enam pelajar lelaki ditahan pada Ahad selepas dipercayai terlibat dalam kes buli dan pemerasan membabitkan mangsa berusia 14 tahun di sebuah sekolah asrama di Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan mereka di sekitar Muar dan Alor Gajah, Melaka antara jam 1.30 pagi hingga 2.12 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 5 petang Sabtu.

"Dalam kejadian tersebut, mangsa mendakwa dipukul di bahagian dada serta dipaksa menyerahkan wang kepada suspek yang merupakan pelajar senior di sekolah tersebut.

Iklan

"Mangsa mengadu lebam di bahagian mata kerana dihantuk kepala. Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma sehingga menyebabkan mangsa mengambil keputusan berhenti sekolah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar Mei lalu kerana dikatakan mangsa menghisap vape yang diperoleh daripada seorang pelajar lain.

Iklan

Menurutnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Siasatan pengabaian turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap warden asrama dan pihak sekolah," ujar beliau.

Menurut beliau, semakan mendapati semua suspek tidak memiliki rekod lampau dan permohonan reman terhadap semua suspek diluluskan selama dua hari sehingga esok.

"Pelajar lain yang menjadi mangsa buli oleh suspek terbabit diminta tampil membuat laporan polis dan membantu siasatan kes tersebut.

"Polis memandang serius kejadian buli yang berlaku di sekolah dan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil dari semua sudut," katanya.

Pada masa sama beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat melalui hotlin talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 07-2212999.