Wanita berdepan pelbagai risiko jenayah, kesedaran pencegahan perlu diperkasa - Lee Lam Thye

Iklan
Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Kesedaran mengenai pencegahan jenayah dalam kalangan wanita perlu diperkasa sebagai langkah penting untuk melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa pelbagai bentuk jenayah yang semakin mencabar.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ragut, rompakan, gangguan seksual di tempat awam, premis pekerjaan dan pengangkutan awam merupakan antara jenayah yang sering dihadapi golongan wanita.

Iklan
Iklan

"Selain kes menghendap atau stalking, termasuk gangguan melalui media sosial, wanita turut berdepan risiko keganasan rumah tangga dan penderaan oleh pasangan.

"Penipuan dalam talian seperti love scam dan penipuan kewangan, kecurian identiti, eksploitasi seksual dalam talian serta ugutan atau pemerasan menggunakan gambar dan video peribadi juga antara jenayah yang sering dihadapi golongan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, kes minuman yang dicampur bahan memabukkan (drink spiking) dan serangan seksual juga antara jenayah yang dilaporkan berlaku.

Katanya, sebahagian besar jenayah berkenaan boleh dicegah atau risikonya dikurangkan melalui kesedaran, kewaspadaan dan langkah berjaga-jaga.

Iklan

"Wanita memainkan pelbagai peranan penting dalam masyarakat sebagai ibu, isteri, anak, pekerja, usahawan, pelajar dan pemimpin masyarakat.

"Golongan ini berhak menjalani kehidupan, bekerja, belajar dan bergerak di tempat awam dengan rasa selamat tanpa dibelenggu ketakutan.

Menurut beliau, kesedaran dan pengetahuan merupakan benteng pertahanan pertama yang mampu melindungi seseorang daripada menjadi mangsa jenayah.

Ujarnya, kesedaran pencegahan jenayah bermaksud mengetahui cara mengenal pasti situasi yang mencurigakan, melindungi maklumat peribadi, mengamalkan langkah keselamatan ketika bergerak, berani melaporkan gangguan serta saling menjaga antara satu sama lain.

"Ia bertujuan bukan untuk hidup dalam ketakutan, sebaliknya menjadi lebih peka, yakin dan bersedia.

"Keselamatan wanita bukan hanya tanggungjawab wanita semata-mata, sebaliknya turut melibatkan lelaki, keluarga, majikan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat, pihak berkuasa serta seluruh komuniti," katanya.

Menurutnya, kemudahan seperti pencahayaan jalan yang baik, liputan kamera litar tertutup (CCTV) yang mencukupi, rondaan polis yang berkesan serta tindakan tegas terhadap penjenayah perlu terus diperkasakan.

"Marilah kita bersama-sama memperkasakan wanita melalui pendidikan, kesedaran dan keberanian untuk bersuara.

"Pada masa sama, kita perlu membina masyarakat yang menjadikan keselamatan, sikap saling menghormati dan kepedulian sebagai budaya hidup," katanya.

Beliau berkata, wanita yang selamat akan melahirkan keluarga sejahtera, manakala keluarga sejahtera seterusnya membentuk negara yang lebih aman dan harmoni.