KLANG – Pengoperasian Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad disifatkan sebagai pemangkin baharu kepada sistem pengangkutan awam yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di Klang dan Shah Alam.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, laluan berkenaan dijangka menggalakkan lebih ramai penduduk beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), terdapat beberapa stesen LRT3 yang akan memberi kemudahan kepada orang ramai termasuk Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Jalan Meru, Jalan Kota, Taman Selatan, Sri Andalas, Klang Jaya dan Bandar Bukit Tinggi.
Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Affendi Mohd Arif dan Ahli Majlis MBDK, Mohd Rayme Abdul Rahman.
Abd Hamid berkata, MBDK kini memberi tumpuan kepada aspek kemudahan persekitaran bagi memastikan perjalanan pejalan kaki ke stesen LRT lebih selamat dan selesa.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu akan mendapatkan maklum balas pengguna selepas operasi bermula bagi mengenal pasti sebarang kekurangan yang perlu ditambah baik.
“Jika terdapat laluan yang gelap, kita akan tambah pencahayaan. Jika laluan pejalan kaki perlu dinaik taraf, kita akan bekerjasama dengan pihak Prasarana bagi memastikan pengguna dapat berjalan dengan selamat tanpa risiko kemalangan atau gangguan,” katanya.
Beliau mengakui isu parkir berkemungkinan menjadi cabaran pada peringkat awal, namun yakin penyediaan perkhidmatan bas pengantara serta kemudahan e-hailing mampu mengurangkan kebergantungan kepada parkir di stesen.
“Kita harap orang ramai memanfaatkan bas pengantara dan perkhidmatan e-hailing. Jika semua membawa kereta ke stesen, kapasiti parkir tentunya tidak mencukupi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abd Hamid berkata, MBDK kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos depan.
Menurutnya, MBDK telah membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan di bawah seliaannya termasuk Stadium Hoki Pandamaran, Stadium Sultan Sulaiman, gelanggang boling padang Bayuemas dan Dewan Bukit Raja.
“Kerja-kerja menaik taraf di Stadium Hoki Pandamaran telah siap sepenuhnya dan hanya melibatkan sentuhan akhir. Begitu juga padang ragbi di Stadium Sultan Sulaiman yang telah siap dengan beberapa kemudahan sokongan seperti tandas sedang disiapkan.
Sementara itu, Mohd Rayme berkata, Taman Rakyat Klang terus menjadi antara lokasi rekreasi utama masyarakat kerana menawarkan gabungan aktiviti riadah dan alam semula jadi.
Menurutnya, pengunjung bukan sahaja boleh berjoging malah menikmati aktiviti mendaki dalam suasana menghijau selain menikmati pelbagai pilihan makanan popular yang menjadi tarikan di kawasan berkenaan.
“Selain Taman Rakyat, setiap Jumaat hingga Ahad kita juga mempunyai kawasan trak makanan di Laman Seni Klang.
“Orang Klang sebenarnya tidak perlu pergi jauh untuk beriadah kerana banyak lokasi menarik di daerah ini yang sesuai dikunjungi bersama keluarga,” katanya.