Diserang sakit jantung, pemandu bas sempat selamatkan penumpang

Iklan
Pemandu sempat selamatkan penumpang sebelum maut. - Foto media tempatan China

BEIJING – Seorang pemandu bas di China dianggap wira apabila sempat memberhentikan kenderaannya sebelum meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, sekali gus menyelamatkan kesemua penumpang.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku pada petang 15 Jun di Zhoushan, Wilayah Zhejiang ketika Zhou Yu, 43, sedang memandu bas ulang-alik sebuah universiti.

Iklan
Iklan

Zhou yang mempunyai pengalaman memandu selama 22 tahun tanpa sebarang rekod kemalangan dilaporkan tiba-tiba mengalami serangan jantung ketika berada di belakang stereng.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia masih sempat menekan brek dan memberhentikan bas secara terkawal sebelum kenderaan itu merempuh sebuah kereta sedan di hadapannya.

Iklan

Selepas berjaya menghentikan kenderaan, Zhou terus tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

Penumpang yang menyedari keadaan itu segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Iklan

Pasukan polis dan paramedik yang tiba di lokasi memberikan bantuan kecemasan serta menjalankan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, Zhou disahkan meninggal dunia pada malam hari yang sama selepas usaha menyelamatkannya gagal.

Pihak hospital memaklumkan punca kematian adalah akibat serangan jantung yang berpunca daripada sindrom koronari akut.

Menurut syarikat pengangkutan awam Zhoushan, tindakan pantas Zhou berjaya mengelakkan kemalangan yang berpotensi mengorbankan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Sepanjang 22 tahun menjadi pemandu, beliau mencatat lebih 340,000 kilometer pemanduan tanpa kemalangan, selain tidak pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya, melakukan kesalahan lalu lintas atau menerima aduan daripada penumpang.

Kisah pengorbanannya mengundang sebak orang ramai, manakala warganet menyifatkan Zhou sebagai pemandu yang berdedikasi dan mengutamakan keselamatan penumpang sehingga ke hembusan nafas terakhir.