BEIJING – Seorang lelaki di China terkejut apabila mendapati isteri yang dikahwininya selepas hanya mengenali wanita itu menerusi panggilan video selama lima minit mempunyai hutang sebanyak 100,000 yuan (kira-kira RM60,000).
Memetik laporan South China Morning Post, lelaki berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Gu itu mendapatkan khidmat agensi mencari jodoh selepas didakwa didesak ibu bapanya supaya segera mendirikan rumah tangga.
Pada mulanya, dia menggunakan khidmat pencari jodoh tempatan dengan bayaran 200 yuan (kira-kira RM120), namun tiga wanita yang dipadankan dengannya tidak menunjukkan minat.
Pencari jodoh itu kemudian mencadangkan agar Gu mencari pasangan dari wilayah lain sebelum memperkenalkannya kepada seorang wanita berusia 30 tahun pada April lalu.
Berdasarkan profil yang diberikan, wanita berkenaan tidak mempunyai hutang tertunggak, rekod jenayah, penyakit serius mahupun penyakit genetik sebelum bersetuju untuk berkahwin dalam tempoh yang singkat.
Gu kemudian mengadakan panggilan video dengan wanita itu, namun kebanyakan soalannya dijawab oleh pencari jodoh.
Apa yang diketahuinya hanyalah wanita tersebut bekerja sebagai jurujual, selain itu agensi berkenaan turut berjanji untuk menyediakan laporan berkaitan rekod kredit dan sejarah kesihatan wanita itu.
Berdasarkan panggilan video yang berlangsung kira-kira lima minit itu, Gu dan keluarganya bersetuju untuk meneruskan perkahwinan.
Mereka kemudian meminta pencari jodoh membawa wanita itu kepada mereka dengan perbelanjaan mencecah 265,000 yuan (kira-kira RM159,000).
Hanya tiga hari kemudian, pasangan itu selamat berkahwin, bagaimanapun keadaan mula berubah apabila agensi berkenaan gagal mengemukakan laporan yang dijanjikan.
Curiga dengan perkara itu, Gu membawa isterinya ke bank untuk menyemak rekod kredit wanita tersebut.
Hasil semakan mendapati isterinya mempunyai hutang berjumlah 100,000 yuan (kira-kira RM60,000).
Wanita itu bagaimanapun mendakwa hutang tersebut sebenarnya milik bekas teman lelakinya.
Lebih mengejutkan, Gu turut mendapati nama yang digunakan isterinya pada aplikasi pembayaran telefon bimbit yang memerlukan pengesahan identiti berbeza daripada nama yang diperkenalkan kepadanya sebelum ini.
Sehari selepas berkahwin, wanita itu memaklumkan kepada Gu bahawa dia mempunyai paras enzim hati yang tinggi, namun memberi jaminan keadaan itu tidak menjejaskan kesuburannya.
Hanya sembilan hari selepas mendirikan rumah tangga, Gu memfailkan permohonan cerai.
Wanita itu kemudian menyaman Gu dengan mendakwa permohonan cerai tersebut menyebabkan dia mengalami kemurungan, selain menuntut pampasan sebanyak 50,000 yuan (kira-kira RM30,000).
Dalam masa sama, Gu turut menyaman pencari jodoh terbabit bagi menuntut bayaran balik sebanyak 160,000 yuan (kira-kira RM96,000), namun tuntutan itu ditolak kerana pencari jodoh berkenaan mendakwa Gu sengaja merancang perceraian untuk mendapatkan semula wangnya.