JAKARTA – Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan polis selepas dipercayai menikam bekas teman wanitanya akibat berang kerana panggilan telefon dan mesej yang dihantar tidak dijawab.
Dalam kejadian di Wisma Mallise, Sulawesi Selatan itu, mangsa yang dikenali sebagai Desinta Patriani, 39, mengalami kecederaan pada pergelangan tangan selepas diserang menggunakan pisau.
Ketua Polis Tanete Riattang, AKP Budiawan berkata, suspek yang dikenali sebagai SA berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian dan kini direman bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek dan mangsa sebelum ini menjalinkan hubungan cinta sebelum berpisah.
Selepas perpisahan itu, suspek berulang kali menghubungi mangsa melalui telefon dan mesej, namun tidak mendapat sebarang respons.
Berang dengan keadaan itu, suspek pergi ke rumah mangsa untuk mendapatkan penjelasan sebelum berlaku pertengkaran.
“Insiden berpunca daripada masalah peribadi antara suspek dan mangsa. Ketika pertengkaran berlaku, suspek dipercayai menyerang mangsa menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Ahli keluarga mangsa yang terdengar kekecohan bergegas ke lokasi dan berjaya menghalang suspek daripada terus menyerang sebelum lelaki itu melarikan diri.
Ketika cuba meloloskan diri, suspek turut merempuh tingkap kaca rumah mangsa sehingga pecah dan mengalami kecederaan.
Polis kemudian menahan suspek serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku membuang pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan itu, manakala polis masih giat mengesan senjata berkenaan.
Sebuah motosikal dan sebuah beg milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan. -Agensi