SHAH ALAM - Datuk Dr Marzuki Mohamad menyangkal kenyataan yang menggambarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar 'berjiwa besar' kerana membenarkan Bersatu menggunakan logo gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata, penggunaan logo gabungan PN merupakan hak parti komponennya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Padahal itu hak Bersatu sebagai parti anggota PN untuk diberikan watikah bertanding menggunakan logo PN dalam pilihan raya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Marzuki berkata, menjadi amanah kepada individu yang diberikan kuasa menandatangani watikah berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat rundingan kerusi.
"Ia bukan soal berjiwa besar. Samalah juga dengan parti-parti yang menganggotai gabungan-gabungan lain.
"Sesiapa sahaja yang diberikan amanah untuk menandatangani watikah bagi sesuatu gabungan parti politik akan mengeluarkan watikah kepada calon-calon daripada parti-parti anggota berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat rundingan kerusi," jelas beliau.
Beliau juga mendakwa keputusan membenarkan Bersatu bertanding menggunakan logo PN berlaku selepas rundingan Pas dengan Barisan Nasional (BN) gagal mencapai kata sepakat.
"Itu pun kalau orang tak tahu cerita. Bagi yang tahu cerita, ini semua 'afterthought' (renungan). Watikah diberikan sebab rundingan Pas dengan BN gagal.
"Kalau rundingan berjaya, tak bertandinglah PN dalam PRN Johor. Pengerusi PN tak perlu keluarkan satu watikah pun," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Ahmad Samsuri sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana membenarkan logo PN digunakan oleh Bersatu dalam PRN Johor.