Hanya 1cm sebulan, hutan gelam perlukan 25 tahun untuk matang

Iklan
Antara peserta yang terlibat menanam pokok gelam di kawasan seluas 0.81 hektar di Tasik Berombak, Kampung Saujana pada Jumaat.

SETIU – Kadar pembesaran sekitar satu sentimeter (cm) setiap bulan menjadikan usaha memulihara hutan gelam terbiar di Tasik Berombak di sini berdepan cabaran kerana tumbuhan itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun untuk mencapai tahap matang.

Pengarah Projek Benua Hijau, Dr Paul Yap berkata, keunikan khazanah alam tersebut mendorong pihaknya menggerakkan program pemuliharaan dengan menanam sebanyak 2,000 anak pokok gelam di kawasan seluas 0.81 hektar di Tasik Berombak, Kampung Saujana, di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan tersebut asalnya merupakan hutan gelam, namun pernah diteroka untuk projek tanaman gajus kira-kira 20 tahun lalu sebelum terbengkalai sehingga hanya dipenuhi rumput.

"Jika tiada usaha penanaman semula dilakukan, kawasan ini tidak akan kembali menjadi hutan gelam," katanya ketika ditemui pada Program Penanaman Pokok Gelam di Tasik Berombak, Kampung Saujana, di sini.

Iklan

Penglibatan golongan muda dalam program konservasi mampu memberi pengalaman sebenar kepada mereka mengenai usaha pemuliharaan alam sekitar

Menurutnya, semua anak pokok yang digunakan dalam program itu disediakan sendiri di tapak semaian Benua Hijau yang telah disemai sejak sembilan bulan lalu.

Iklan

Beliau berkata, Setiu merupakan antara kawasan yang memiliki hutan gelam terbesar di negara ini dan usaha pemuliharaan perlu diteruskan bagi memastikan khazanah alam itu tidak pupus.

Katanya, penanaman semula pokok gelam bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem, malah memainkan peranan penting dalam menyerap karbon daripada atmosfera, sekali gus membantu menangani perubahan iklim.

"Pokok gelam berfungsi dengan lebih baik berbanding rumput dalam proses penyerapan karbon. Jadi, usaha penanaman semula ini merupakan salah satu cara untuk membantu memulihkan alam sekitar.

"Ia merupakan spesies yang lambat membesar kerana hanya meningkat kira-kira satu sentimeter setiap bulan dan memerlukan sekurang-kurangnya 25 tahun untuk matang," katanya.

Penanaman semula pokok gelam bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem, malah mampu membantu menangani perubahan iklim.

Dalam pada itu, Paul berkata, penglibatan golongan muda dalam program konservasi amat penting bagi memberi pengalaman sebenar kepada mereka mengenai usaha pemuliharaan alam sekitar.

"Antara cabaran utama dalam usaha pemuliharaan hutan gelam ialah penyediaan anak pokok, kekurangan tenaga kerja dan kos pengurusan yang tinggi.

"Kami menyasarkan untuk memulihkan keseluruhan kawasan seluas 200 ekar di Setiu, namun setakat ini hanya kira-kira 20 ekar berjaya ditanam semula dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.