GOPENG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan 20 Pusat Pengumpulan Sementara (PPS) Buah-Buahan Bermusim di seluruh Perak bagi membantu memasarkan lebihan durian sepanjang musim pengeluaran yang sedang memuncak.
Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin berkata, penubuhan PPS itu bertujuan memudahkan proses pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pemasaran hasil buah-buahan, khususnya durian sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun serta mengurangkan risiko lambakan hasil.
Menurutnya, FAMA turut memperluaskan rangkaian pemasaran durian menerusi Program Jualan Agro Madani, Agrobazaar, jualan di pejabat kerajaan, kawasan perumahan dan pelbagai lokasi strategik di seluruh negara.
"Usaha ini membolehkan pengguna mendapatkan durian segar berkualiti pada harga berpatutan, di samping membantu usahawan memasarkan hasil mereka dengan lebih pantas, sistematik dan berkesan.
"Bagi mengatasi lebihan hasil dan meningkatkan nilai tambah, Pusat Operasi FAMA Perak turut melaksanakan aktiviti pemprosesan pes durian," katanya dalam satu kenyataan sempena Program Jualan Agro Madani Mega @ Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Pentas Utama RTC Perak di sini pada Sabtu.
Hadir merasmikan program tersebut Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail.
Azleena berkata, inisiatif pemprosesan pes durian itu memberi peluang kepada pekebun memasarkan durian kampung yang sukar dijual dalam bentuk segar selain mengurangkan kerugian akibat lebihan pengeluaran.
"Melalui pemprosesan ini, durian dapat dihasilkan sebagai pes berkualiti yang mempunyai jangka hayat simpanan lebih panjang serta berpotensi dipasarkan kepada industri pemprosesan makanan, bakeri, pencuci mulut dan pasaran eksport," ujarnya.
Dalam pada itu, Azleena berkata, sepanjang tempoh 9 hingga 21 Jun lalu, FAMA Negeri Perak berjaya membantu memasarkan 1,126 tan metrik durian dengan nilai jualan mencecah RM3.38 juta.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan jaringan pemasaran FAMA dalam memastikan hasil durian tempatan dapat disalurkan kepada pengguna secara efisien sekali gus mengurangkan lambakan di peringkat ladang.
Beliau berkata, FAMA akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama usahawan, pengumpul, pemborong, peruncit dan agensi berkaitan bagi memperluaskan akses pasaran hasil pertanian tempatan.
"Apabila hasil pertanian mempunyai akses pasaran yang lebih luas, tersusun dan berdaya saing, pengusaha bukan sahaja memperoleh pulangan lebih baik malah pengguna turut menikmati bekalan produk segar yang berkualiti pada harga berpatutan.
"FAMA akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara pemasaran bagi memastikan setiap hasil pertanian tempatan mendapat nilai yang optimum," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan FAMA mengaktifkan pelan intervensi pemasaran secara menyeluruh di seluruh negara bagi menangani isu kejatuhan harga durian di peringkat ladang dan runcit yang dikesan merundung sejak kebelakangan ini.
Langkah proaktif itu diambil berikutan berlakunya lebihan hasil akibat pengeluaran serentak atau ‘Tsunami Musang King’ yang membabitkan hampir semua negeri di Semenanjung dan Sarawak sepanjang musim kemuncak antara Jun hingga Ogos ini.