KUALA PILAH- Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap bagi menzahirkan kejadian Hassan Ab Hamid sebagai Dato' Sedia Raja Undang Luak Rembau ke-22 pada Sabtu.
Pada majlis istiadat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti pada jam 2.50 petang itu, pesara guru berusia 67 tahun berkenaan menghadap Tuanku Muhriz bagi menzahirkan dirinya sebagai Undang Luak Rembau, selepas dipilih secara adat oleh luaknya.
Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al- 'Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasbi Wan Yusof serta beberapa barisan exco kerajaan negeri.
Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi mendapat perkenan memulakan istiadat.
Hassan kemudiannya melafazkan sembah taat setianya kepada YDPB dan diikuti oleh titah baginda.
Dalam Tuanku Muhriz, baginda melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana istiadat menghadap bagi menzahirkan kejadian Undang Luak Rembau yang ke-22 dapat diadakan.
"Dengan penuh sukacitanya beta berkenan menerima penzahiran kejadian Haji Hassan Ab Hamid sebagai Orang Kaya Beta, Undang Luak Rembau dengan gelaran Dato' Sedia Raja.
"Pelantikan ini merupakan satu amanah besar yang lahir daripada pemuafakatan adat. Ia hendaklah dipikul dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat serta kesejahteraan rakyat di Luak Rembau,"titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah, sebarang perselisihan atau permasalahan hendaklah ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat.
Baginda turut mengingatkan Hassan supaya sentiasa menjunjung taat setia kepada Institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan yang erat dan penuh hormat dengan baginda dan Istana.
"Hubungan yang berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan muafakat merupakan asas penting dalam menjamin keluhuran adat, kedaulatan Institusi Raja serta kesejahteraan negeri.
"Beta juga menyeru agar seluruh rakyat beta di Luak Rembau, di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung terus berganding bahu bersama kepimpinan adat dalam memperkukuh pelaksanaan adat dan memelihara warisan yang telah diwariskan sejak turun-temurun,"titah baginda.
Titah baginda lagi, peliharalah semangat persaudaraan dan hubungan yang harmoni antara satu sama lain kerana kekuatan masyarakat terletak pada perpaduan, muafakat dan sikap saling menghormati.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.
Terdahulu, pada istiadat itu, Hassan dan isteri Asmah Yaakob diarak dengan diiringi lebih 100 anggota rombongan ke Istana Besar Seri Menanti sambil membawa barang adat istiadat.
Pelantikan beliau dibuat berpandukan pihak Dato Adat Rembau melalui Buapak Delapan Kampung yang telah mengadakan istiadat kerapatan dua kali dan kedua-duanya memilih Kampung Tanjong sebagai benih calon Undang Luak Rembau Ke-22.
Hassan yang dilahirkan pada 11 Januari 1959 di Rembau mewarisi keturunan suku Biduanda, Sedia Raja Kampung Tanjung, manakala isterinya daripada suku Waris Biduanda, Lela Maharaja Kampung Gadong pada tahun 1985.
Pasangan ini dikurniakan lima orang cahaya mata, terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.
Pada tahun 2024, Hassan dilantik sebagai Pesaka Dato' Perba dan menyandang jawatan sebagai Pesaka Buapak Kampung Tanjung dengan gelaran Dato' Kaya Maharaja sejak tahun 1998.