KUALA NERUS – Seorang peniaga di Kampung Bukit Tunggal di sini mengambil inisiatif menjual durian pada harga serendah RM1 sebiji bagi membantu golongan memerlukan untuk sama-sama menikmati keenakan raja buah itu.
Pemilik Kedai Durian Maiz, Muhammad Izhar Ibrahim, 27 berkata, inisiatif itu mendapat sambutan luar biasa apabila lebih satu tan raja buah itu licin dalam tempoh kurang lima minit setiap hari.
Menurutnya, jualan pada harga promosi antara RM1 hingga RM2 sebiji itu diperkenalkan bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati durian tanpa perlu berbelanja besar.
"Memang tidak sangka sambutannya luar biasa. Setiap kali jualan dibuka, tidak sampai lima minit semuanya habis dijual,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini pada Sabtu.
Tinjauan mendapati strategi sambil berniaga sambil beramal itu mencetuskan fenomena tersendiri apabila ratusan pelanggan sanggup beratur seawal jam 8 pagi bagi merebut peluang tersebut.
Menurut Muhammad Izhar, promosi yang bermula sejak minggu lalu itu melibatkan campuran pelbagai varieti termasuk buah gred tinggi seperti Musang King, IOI, Udang Merah selain durian kampung bersaiz kecil.
Beliau turut memberi jaminan akan meneruskan jualan bajet tersebut selagi menerima bekalan yang mencukupi daripada pembekal.
Sementara itu, rata-rata pelanggan melahirkan rasa kagum dan menyifatkan usaha pemuda berkenaan wajar dipuji kerana amat membantu golongan berpendapatan rendah.
Seorang pembeli, Khamisah Adnan, 54, berkata, dia terkejut kerana masih ada peniaga yang meletakkan kebajikan masyarakat mendahului keuntungan semata-mata.
"Dengan harga begini, kami sekeluarga bolehlah membeli lebih banyak dan sama-sama dapat menikmati musim durian," katanya.