Lelaki maut, motosikal tidak sempat elak lembu

Iklan
Dua penunggang motosikal maut dalam kejadian berasingan di Kilometer 81 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria dan Jalan Batu Balai-Mengkebang dekat Kampung Batu Balai, Kuala Krai.

KUALA KRAI - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 81 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.22 malam itu, mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC secara bersendirian dari arah Kampung Lepan Jenut menuju ke Kuala Krai.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai tiba-tiba melintas dari bahu kiri jalan ke tengah jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.

Iklan

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ujar beliau, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kehadiran lembu yang melintas secara tiba-tiba sehingga menyebabkan motosikal mangsa gagal mengelak.

Dalam kejadian berasingan Mazlan memberitahu, kira-kira sejam sebelumnya, seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lagi motosikal di Jalan Batu Balai-Mengkebang dekat Kampung Batu Balai di sini.

Ujar beliau, kemalangan kira-kira jam 10.04 malam itu melibatkan motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda Dash yang datang dari arah sama iaitu dari Kampung Mengkebang menuju ke Batu Balai.

Tambahnya, siasatan awal mendapati penunggang Honda Dash berusia 45 tahun yang berada di hadapan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan penunggang Yamaha RXZ di belakang gagal mengelak lalu merempuh motosikal berkenaan.

"Penunggang Yamaha RXZ mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Manakala penunggang Honda Dash turut cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai," katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan penunggang Honda Dash yang mengubah haluan secara tiba-tiba ke sebelah kanan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.