'Jangan jadi suami bossy’ - Pesanan Che Ta iringi hari bahagia Ammar

Iklan

SUASANA hiba bercampur gembira menyelubungi ruang GlamHall Damansara apabila pelakon dan usahawan ikonik, Rozita Che Wan, secara rasminya menyambut kehadiran menantu sulung dalam keluarganya.

Anak lelakinya, Ammar Effendy Azuar Effendy, kini sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Auni Ikhwan, dengan hanya sekali lafaz dalam satu majlis yang berlangsung cukup indah dan penuh bermakna.

Iklan
Iklan

Mengambil keberkatan malam 10 Muharram, majlis pernikahan berkonsepkan taman atau garden wedding itu kelihatan begitu eksklusif walaupun berkonsepkan minimalis, dengan dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kedua-dua belah pihak.

Sebagai seorang ibu yang membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang, wanita yang mesra disapa Che Ta ini tidak dapat menyembunyikan rasa sebak yang berselindung di sebalik senyuman anggunnya.

Iklan

Saat melihat anak sulungnya melangkah ke fasa baharu, air mata keibuan gugur mengenangkan tanggungjawab besar yang bakal digalas oleh Ammar.

Che Ta sempat menitipkan pesanan yang cukup mendalam buat pasangan pengantin baharu ini agar sentiasa berpijak di bumi yang nyata dalam melayari bahtera perkahwinan.

Iklan

“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tak sempurna dan apa sekalipun.

"Moga Ammar dapat menjadi suami yang melindungi dan bukannya ‘bossy’. Buat Auni, jadilah isteri yang mendampingi dan tidak sekadar menemani.

"Dalam berumahtangga ini, Ammar dan Auni kenalah berpegangan tangan dalam setiap keadaan. Janganlah melepaskan pegangan tangan itu di kala susah atau berdepan kegetiran.

"Dalam perkahwinan ini, kebahagiaan bukan mengenai pasangan yang tak diuji. Tetapi, pasangan yang bersama walaupun diuji,” luah Che Ta dengan nada suara yang bergetar menahan emosi.

Pengalaman hidup lalu sebagai ibu tunggal sebelum mengecap bahagia bersama suami sekarang, Zain Saidin, menjadikan nasihat Che Ta kedengaran sangat realistik dan matang.

Beliau sedar bahawa alam perkahwinan penuh dengan pasang surut yang menuntut kesabaran yang tinggi daripada kedua-dua belah pihak.

Baginya, keharmonian tidak datang bergolek, sebaliknya perlu dibina bersama-sama terutamanya apabila usia perkahwinan semakin meningkat dan tanggungjawab pula semakin bertambah.

“Dalam hidup ini apatah lagi berumahtangga, pasti tak lepas diuji. Namun, cubalah untuk terus utuh di sisi masing-masing. Ada orang cakap tahun pertama, kedua dan seterusnya akan manis dan indah.

"Namun apabila sudah lama dan diserikan dengan kehadiran anak pula, pasti ada pelbagai ragam dan ujian. Tapi cubalah untuk terus bertolak ansur dan memahami.

"Perkahwinan ini bukan seperti menukar pakaian. Nescaya, akan timbul perkara tak diundang. Tapi jangan sesekali fikir jalan mudah untuk lari daripada apa saja godaan serta cabaran.

Pada majlis yang serba indah itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 bersama hantaran berharga berupa jongkong emas, selain kedua-dua belah pihak saling bertukar tujuh dulang hantaran.

Detik upacara membatalkan air sembahyang turut mencuri tumpuan apabila sebentuk cincin berlian mewah berukuran 1.8 karat disarungkan ke jari manis pengantin perempuan sebagai simbolik ikatan suci mereka.

Pasangan dua sejoli ini kelihatan bagai pinang dibelah dua dalam persalinan serba putih, yang mana Ammar mengenakan busana rekaan Man Kajang manakala Auni tampak jelita dengan busana sentuhan pereka Zaimi Zulkafli.

Majlis malam itu dikendalikan dengan penuh tertib oleh personaliti TV terkenal, Ahmad Fedtri Yahya selaku pengacara majlis, manakala bacaan doa diberkati oleh Pencetus Ummah (PU) Amin.

Mengimbas kembali detik perkenalan, Ammar yang kini berkhidmat sebagai pegawai bank dan Auni yang bekerja dalam bidang pemasaran terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.

Kemeriahan diraikan tidak terhenti di situ sahaja kerana pasangan ini bakal diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel terkemuka di I-City Shah Alam, diikuti dengan majlis bertandang yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai depan. - SinarPlus