KUALA LUMPUR - Dua rentung, seorang lagi selamat selepas kereta dinaiki terbabas dan terbakar dalam kejadian di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching di sini pada Sabtu.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Sri Hartamas telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Komander Operasi, Mohd Fadzlil Jamaludin berkata, panggilan diterima pihaknya kira-kira jam 5.20 pagi.
Menurutnya, setibanya di lokasi mendapati terdapat tiga mangsa dengan dua daripadanya rentung akibat tersepit, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.
"Punca kebakaran dan kemalangan masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, mangsa yang selamat telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.