PRN Johor pertaruhan terbesar Muhyiddin

Iklan
PRN Johor dilihat sebagai pertaruhan politik terbesar buat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak PRU15 apabila prestasi parti itu bakal menjadi ukuran terhadap pengaruh beliau dalam landskap politik semasa. Foto Bernama (Gambar kecil: Chin Huat)

PUTRAJAYA – PRN Johor dilihat sebagai pertaruhan politik terbesar buat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila prestasi parti itu bakal menjadi ukuran terhadap pengaruh beliau dalam landskap politik semasa.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat berkata, keputusan yang bakal dicatatkan Bersatu pada PRN Johor akan menentukan sama ada parti itu masih mampu mengekalkan sokongan seperti diperoleh pada PRN 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya Bersatu gagal mengekalkan kerusi yang dimenangi pada 2022, keadaan itu akan dilihat sebagai kemunduran pengaruh Muhyiddin dan parti berkenaan.

"Kalau Bersatu gagal mempertahankan semua kerusi sedia ada, maka itu akan dilihat sebagai titik noktah ketokohan beliau," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PRN Johor menjadi ujian besar kepada Muhyiddin susulan keputusan Bersatu mengumumkan akan bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRN Johor 2022, Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi DUN di mana dua daripadanya iaitu Bukit Kepong dan Endau dimenangi Bersatu manakala Maharani menjadi milik Pas.

Iklan

Bukit Kepong menyaksikan Datuk Dr Sahruddin Jamal menang dengan majoriti 710 undi dalam saingan empat penjuru manakala Alwiyah Talib menang dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 3,041 undi.

Selain prestasi Bersatu, Chin Huat turut membangkitkan persoalan mengenai corak sokongan parti-parti lain yang berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, timbul persoalan sama ada Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Pas akan menggerakkan penyokong masing-masing untuk mengundi UMNO sehingga menjejaskan peluang Bersatu.

"Ini membawa persoalan besar, adakah Wawasan dan Pas akan mengerahkan penyokong mereka untuk mengundi UMNO demi menyekat Muhyiddin dan Bersatu?

"Dengan tidak bertanding di 23 kerusi, Pas mungkin ada persefahaman sulit dengan UMNO," katanya.

Jelas beliau, senario itu menjadikan PRN Johor bukan sekadar persaingan merebut kerusi DUN, malah medan penting bagi mengukur kekuatan Muhyiddin serta hala tuju Bersatu menjelang persaingan politik akan datang.