PRN Melaka: Calon popular belum tentu menang - Penganalisis

Iklan
PRN Melaka menjadi medan ujian kritikal terhadap sejauh mana pengundi menentukan pilihan berdasarkan identiti parti, prestasi kerajaan negeri mahupun kepercayaan peribadi terhadap calon.

KUALA TERENGGANU - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 dijangka bukan sekadar menjadi gelanggang persaingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya turut menjadi medan ujian kritikal terhadap sejauh mana pengundi menentukan pilihan berdasarkan identiti parti, prestasi kerajaan negeri mahupun kepercayaan peribadi terhadap calon.

​Penganalisis Politik, Dr Azrie Azeh berkata, biarpun keputusan PRN Melaka 2021 menyaksikan BN merangkul 21 daripada 28 kerusi berbanding PH (lima) dan PN (dua), keputusan lalu itu bukan jaminan kemenangan berulang memandangkan perubahan persepsi dan peralihan keutamaan pengundi boleh mengubah landskap di kawasan marginal.

Iklan
Iklan

​Tambah beliau, calon BN yang mempunyai hubungan kukuh dengan masyarakat mungkin mampu mempertahankan sokongan meskipun berdepan ketidakpuasan terhadap parti, namun kelebihan itu tidak semestinya dapat mengimbangi kelemahan prestasi kerajaan sekiranya isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan mutu perkhidmatan awam menjadi keutamaan pengundi.

​Mengulas mengenai cabaran gabungan pembangkang, beliau berpandangan cabaran buat PH bukan sekadar mengeksploitasi ketidakpuasan terhadap BN, sebaliknya perlu membuktikan kredibiliti calon, keupayaan menyelesaikan masalah setempat serta agenda pemerintahan yang meyakinkan tanpa hanya bergantung kepada populariti sementara.

Iklan

Bagi PN pula beliau berkata, gabungan itu perlu menterjemahkan sokongan terhadap identiti politik dan mesej perubahan kepada kepercayaan terhadap calon tertentu, terutamanya apabila penolakan terhadap BN atau PH tidak secara automatik menjadikan PN pilihan alternatif tanpa mengambil kira aspek pengalaman, integriti dan kebolehan mengurus kawasan.

​Beliau menjelaskan bahawa kekuatan parti dan pengaruh calon tidak beroperasi secara terpisah, sebaliknya saling mempengaruhi melalui reputasi organisasi, persepsi kepimpinan serta pengalaman masyarakat dengan wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Iklan

"​Dari sudut analisis elektoral, calon popular tidak semestinya membawa kemenangan kepada parti, manakala calon yang kurang menonjol secara peribadi tetap berpotensi menang menerusi kekuatan jentera dan kesetiaan penyokong.

​"Penilaian terhadap calon PRN Melaka tidak seharusnya berhenti pada keramahan atau keterlihatan di media sosial semata-mata, sebaliknya perlu meneliti rekod menyelesaikan masalah, ketelusan menjalankan tanggungjawab dan hasil kerja yang boleh dibezakan daripada aktiviti membina imej," ujar beliau.

​Katanya lagi, dalam persekitaran media sosial menjelang pilihan raya, penguasaan komunikasi digital memberikan kelebihan dari segi keterlihatan, namun jumlah tontonan atau sokongan dalam talian tidak boleh disamakan dengan undi sebenar di peti undi.

"Analisis PRN Melaka perlu membezakan tiga persoalan utama iaitu sama ada pengundi mempercayai calon, menyokong parti atau menerima prestasi dan agenda pemerintahan yang ditawarkan, kerana ketiga-tiga faktor itu boleh menghasilkan keputusan yang berbeza di peringkat DUN,"ujar beliau.