Soalan
Kadang-kadang hadir perasaan malas ketika bekerja, masuk kerja lambat dan sebagainya. Jika ingin menebus kembali kesilapan tersebut, apakah caranya?
Jawapan
Gaji atau pendapatan yang diterima hasil bekerja secara sambil lewa itu halal namun kurang keberkatannya.
Ini kerana bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pekerjaan atau memberikan khidmat yang terbaik ketika menjalankan amanah merupakan tuntutan dalam Islam.
Ia berdasarkan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH AZZA WAJALLA mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu, dia melaksanakan dengan cemerlang.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Berbeza dengan sambil lewa, seseorang itu masih melakukan pekerjaannya walaupun tidak bekerja secara bersungguh-sungguh.
Seseorang yang bekerja sambil lewa wajib bertaubat kepada ALLAH SWT serta kembali melakukan pekerjaannya secara berdedikasi dan bersungguh-sungguh.
Kelompongan ketika bekerja sambil lewa boleh ditebus dengan beberapa cara, antaranya:
1 - Bekerja lebih masa tanpa tuntutan kepada majikan.
2 - Bersedekah dengan kadar yang mampu atau sekadar yang boleh menenangkan hatinya.