KOTA KINABALU - Inkues kematian Zara Qairina Mahathir ditangguhkan pada Jumaat dan akan disambung semula bulan hadapan dengan mendengar keterangan saksi seterusnya.
Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan sebelum ini menetapkan prosiding inkues akan bersambung pada 13 hingga 17 Julai.
Sebelum prosiding ditangguhkan, peguam Shahlan Jufri memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli, untuk memberikan keterangan pada sesi berkenaan.
“Saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa bagi prosiding bulan hadapan, pihak kami akan memanggil Dr Noor Aishah terlebih dahulu dan bukannya Dr Wong Haw Huo kerana beliau tidak dapat hadir pada sesi tersebut.
“Dr Haw Huo akan dipanggil pada bulan Ogos,” katanya.
Shahlan berkata, pihaknya menjangkakan keterangan Dr Noor Aishah akan mengambil masa memandangkan laporan yang disediakan beliau melebihi 400 muka surat.
Sehubungan itu, katanya, prosiding sepanjang minggu berkenaan dijangka dikhaskan bagi mendengar keterangan Dr Noor Aishah.
Shahlan bersama rakan sepasukannya, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James hadir sebagai pihak berkepentingan yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Inkues itu kini memasuki hari ke-78 prosiding dan setakat ini telah mendengar keterangan daripada 75 saksi, termasuk kanak-kanak.