Hukum tonton perlawanan bola sepak

Iklan
SEBAHAGIAN ulama menyatakan harus untuk menonton perlawanan bola sepak dengan mengambil pandangan yang sederhana. Foto Canva

Soalan

Apakah hukum menonton perlawanan bola sepak menurut syarak? Apakah ia termasuk dalam bentuk hiburan yang diharuskan?

Iklan
Iklan

Jawapan

Islam merupakan agama yang meraikan fitrah dan keperluan manusia termasuk keperluan untuk berehat, beriadah dan berhibur.

Iklan

Justeru, Islam tidak menghalang umatnya daripada menikmati bentuk-bentuk hiburan yang harus dan tidak bercanggah dengan syariat.

Bagaimanapun, hiburan dalam Islam bukanlah suatu kebebasan tanpa batasan, sebaliknya ia tertakluk kepada garis panduan yang memastikan manusia tidak terjebak dalam perkara yang melalaikan, merosakkan akhlak atau menyebabkan pengabaikan kewajipan terhadap ALLAH SWT.

Iklan

Oleh itu setiap bentuk hiburan termasuk aktiviti menonton perlawanan bola sepak, hendaklah dinilai berdasarkan prinsip keseimbangan (wasatiyah) yang menjadi tunjang ajaran Islam.

Malah sesuatu bentuk hiburan yang pada asalnya harus boleh bertukar menjadi ibadah dan diberikan ganjaran pahala apabila disertai dengan niat yang baik serta dilaksanakan dalam batasan syarak.

Sebagai contoh, seseorang yang berhibur bagi merehatkan minda agar lebih bertenaga untuk beribadah, melaksanakan tugas dengan baik atau mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga dan sahabat, maka aktiviti itu boleh menjadi sebahagian daripada amal yang diberi ganjaran oleh ALLAH SWT.

Dalam konteks sukan, hukum asal menonton pertandingan atau permainan ialah harus.

Para ulama berbeza pandangan mengenai hukum menonton sukan yang melibatkan pemain yang tidak menutup aurat dengan sempurna.

Ada sebahagian ulama mengharamkan secara mutlak, manakala sebahagian lain mengharuskan dengan syarat tidak disertai unsur haram seperti syahwat, perjudian, pergaulan bebas dan pengabaian kewajipan agama.

Pandangan lebih sederhana diambil dengan mengambil kira tujuan sebenar penonton yang lazimnya menyaksikan kemahiran, strategi permainan dan semangat kesukanan, bukannya untuk melihat aurat pemain.

Bagaimanapun ia berbeza sekiranya permainan atau sukan tersebut sememangnya mendedahkan aurat dengan jelas seperti sukan renang yang jelas tidak menutup aurat, gimrama dan sebagainya, ia dikategorikan sebagai haram menontonnya.