KOTA KINABALU – Pakar psikiatri, Dr Wong Haw Huo berpendapat bahawa kasih sayang yang ditunjukkan ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir terhadap anaknya tidak dibuat-buat dan adalah ikhlas berdasarkan keseluruhan penilaian klinikal serta bukti yang dikumpulkan sepanjang siasatan.
Dr Haw Huo yang juga saksi ke-75 dalam prosiding inkues kematian remaja itu berkata kesimpulan tersebut dibuat selepas beliau menilai pelbagai aspek kehidupan keluarga termasuk pemerhatian video, rakaman, dokumen serta interaksi harian antara ibu dan anak.
“Kesemua bukti yang kami kumpulkan seperti video pemerhatian (OVP), rakaman video, hiasan di dalam rumah, tulisan-tulisan dan dokumen berkaitan menunjukkan satu corak yang konsisten iaitu ibu sentiasa mengambil berat, terlibat secara aktif dalam kehidupan Zara serta sering memberikan bimbingan dan nasihat kepadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri semasa memberi keterangannya di Mahkamah Koroner pada Jumaat.
Menurutnya, penilaian terhadap ibu Zara Qairina juga dibuat kerana Allahyarham merupakan seorang remaja yang masih memerlukan bimbingan ibu bapa, sekali gus menjadikan aspek keibubapaan penting dalam memahami perkembangan emosi dan sokongan yang diterimanya.
Dalam proses penilaian itu, Dr Haw Huo berkata, beliau dan pasukannya, Pakar Psikiatri Profesor Dr. Aili Hanim Hashim, turut menilai latar belakang kehidupan ibu Zara yang didapati melalui pengalaman hidup yang amat sukar sejak kecil.
Katanya, pengalaman membesar dalam keadaan serba kekurangan sehingga terpaksa mencari makanan sendiri telah membentuk ketahanan diri yang tinggi dalam diri ibu Zara Qairina, termasuk kecenderungan untuk tidak menzahirkan kesedihan secara terbuka.
“Dari sudut pandangan saya sebagai klinikal, kasih sayang merujuk kepada hubungan atau ikatan antara dua individu. Ia boleh wujud antara pasangan, ibu bapa dan anak, ataupun sesama ahli keluarga.
“Bentuk kasih sayang itu berbeza-beza, namun pada asasnya kasih sayang adalah sesuatu yang tidak bersyarat. Apabila seseorang benar-benar menyayangi orang lain, dia sanggup melakukan apa sahaja demi individu tersebut, begitu juga dengan ibu Zara.
“Kita perlu memahami bahawa beliau telah melalui pelbagai kesukaran sejak kecil. Zara pula merupakan anak tunggalnya,” katanya ketika ditanya peguam Shahlan Jufri di Mahkamah Koroner pada Jumaat.
Katanya lagi, keadaan itu turut mempengaruhi pendekatan beliau dalam membesarkan Zara Qairina, termasuk menekankan nilai ketabahan dan kekuatan diri agar anaknya tidak mudah terpengaruh atau dipergunakan oleh orang lain.
“Sehingga ke penghujung sesi temu bual, ibu Zara akhirnya tidak dapat menahan emosi lalu menangis dan meminta maaf kerana menangis,” katanya.
Menurut Dr Haw Huo, reaksi tersebut menunjukkan bahawa ibu Zara Qairina sebenarnya telah lama memendam perasaan dan cuba kekal kuat demi anaknya.
Sehubungan itu, beliau berkata berdasarkan bukti yang diperoleh, jelas wujud hubungan yang rapat antara ibu dan Zara Qairina.
“Mereka sering berkomunikasi, ketawa bersama serta berkongsi pelbagai perkara dalam kehidupan seharian termasuk perkara-perkara kecil.
“Semua itu menunjukkan wujudnya kepercayaan yang tinggi antara mereka. Tanpa kepercayaan, kasih sayang sukar untuk wujud. Kasih sayang juga boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui sentuhan fizikal ataupun hubungan emosi.
“Secara keseluruhannya, saya bersetuju bahawa kasih sayang antara ibu dan anak ini adalah kasih sayang yang tulen dan ikhlas,” jelasnya.
Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat dalam inkues tersebut.