PASIR MAS - Meskipun sudah dua tahun berlalu namun detik terperangkap selama tiga hari tiga malam bersama dua anak kecil ketika banjir teruk pada 2024 masih segar dalam ingatan seorang suri rumah di Taman Rantau Emas, Rantau Panjang di sini.
Nurul Faezah Mohd Asri, 34, berkata, pengalaman itu bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah meninggalkan trauma yang masih dirasai sehingga kini.
Menurutnya, air mula memasuki rumah pada waktu malam sebelum meningkat dengan begitu pantas dalam tempoh kira-kira sejam sehingga mencecah paras 0.7 meter dan hampir mengenai suis elektrik.
“Kami duduk dalam air tiga hari tiga malam dan tidur dengan terpaksa biar pintu rumah terbuka kerana arus terlalu kuat. Ketika itu hanya fikir macam mana hendak selamatkan anak-anak,” katanya ketika mengimbau kembali pengalaman itu.
Suri rumah terbabit ditemui semasa penyerahan rakit kecemasan oleh Crisis Relief Services and Training dan Kelantan Disaster Respon Network kepada penduduk di Kampung Gertak Anak Buaya, Rantau Panjang di sini pada Jumaat.
Nurul Faezah menemani ibunya, Sakinah Ismail, 63, dari Kampung Kubang Gabus, Rantau Panjang di sini yang menerima rakit kecemasan terbabit bagi menempatkan barangan elektrik ketika musim banjir.
Menyambung kisah terperangkap banjir itu, Nurul Faezah berkata, suaminya, Nik Zufian Yaacob, 40, yang bekerja di sebuah pasar raya, ketika itu turut berusaha menyelamatkan perabot dengan meletakkan sofa di atas empat palet yang dilapik menggunakan rim kereta.
Namun katanya, usaha itu tidak berjaya apabila air terus meningkat sehingga menyebabkan sofa mereka ditenggelami air manakala di luar rumah banjir sudah melepasi paras 1.5 meter.
“Arus air pun deras menyebabkan polis atau bomba pun tak dapat masuk ke kawasan rumah saya.
“Barang-barang pun memang tak sempat nak selamatkan, banyak dibiar hanyut saja dan akhirnya kami bermalam dalam air serta tidur atas sofa tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang terperangkap, mereka sekeluarga hanya bertahan dengan mi segera sementara menunggu air surut sedikit demi sedikit hingga keadaan selamat.
“Anak bongsu saya ketika itu baru berusia dua tahun dan keadaan sangat sejuk kerana berendam dalam air.
“Nak keluar takut sebab waktu tu pun kecoh orang kata ada buaya timbul dalam banjir,” katanya.
Nurul Faezah berkata, walaupun kehidupan kini kembali seperti biasa, pengalaman tersebut menyebabkan dia berhati-hati setiap kali menjelang musim banjir.
“Sampai sekarang risau apabila hujan musim tengkujuh saya akan segera tempah bilik untuk pindah supaya tidak lagi terperangkap dalam banjir,” katanya.