Tiada arahan halang MB Johor masuk Felda - Anwar

Iklan
Anwar (tengah) bercakap pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiatus Solehah, Pekan Dengkil.

DENGKIL - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menafikan dakwaan kononnya wujud arahan bagi menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan hanya memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa sedia ada di tanah rancangan berkenaan.

Iklan
Iklan

Anwar berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Menteri Besar Johor itu yang mendakwa beliau dihalang daripada memasuki kawasan Felda.

Sebelum ini, Onn Hafiz mendedahkan, beliau dihalang memasuki kawasan Felda bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026.

Iklan

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak akan melayan komen oleh pihak luar yang mempunyai agenda tertentu, sebaliknya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas demi manfaat rakyat.

"Saya tidak jelas (maksud mereka), tidak layan sangat dengan komen-komen ini. Kita banyak kerja kita," katanya.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Perdana Menteri dan Pengarah Besar Felda menjelaskan, pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor memasuki kawasan tanah rancangan itu.

Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan Felda.- Bernama