[VIDEO] PRN Melaka: MCA masih boleh runding calon - Ahmad Zahid

Iklan

BAGAN DATUK - Barisan Nasional (BN) masih membuka ruang rundingan dengan MCA berhubung senarai calon yang diumumkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebelum hari penamaan calon.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan akan diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, nama calon yang diumumkan masih belum dimuktamadkan selagi watikah pelantikan calon tidak ditandatangani.

“Ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian hadiah Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk di Tapak Pasar Malam Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, keputusan menamakan calon tersebut mungkin dibuat menerusi perbincangan di antara Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan pengerusi dan kepimpinan MCA negeri berhubung senarai calon berkenaan.

Iklan

Semalam media melaporkan MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.

Ka Siong berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.

BN mengumumkan calon gabungan itu yang akan bertanding di 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan dua wakil MCA bertanding iaitu penyandang DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang, Datuk Lim Ban Hong.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, penganjuran Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan penyertaan peserta seramai lebih 1,700 orang dari 37 negara.

Beliau berkata, penganjuran tahun depan akan ditingkatkan kepada acara maraton penuh bagi menarik lebih ramai peserta menyertai program berkenaan.