PENYANYI dan komposer terkenal, Hazami, memohon maaf kepada para peminat dan penggiat industri muzik atas penangguhan pelancaran single terbaharunya, Renjana Jiwa, yang kini dijadualkan untuk dilancarkan pada 10 Julai ini.
Menurut Hazami, keputusan untuk menunda pelancaran lagu tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan dan memerlukan perhatian lanjut bagi memastikan karya berkenaan dapat dipersembahkan dalam keadaan yang terbaik.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua yang sudah menantikan pelancaran Renjana Jiwa. Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat kerana saya sendiri amat teruja untuk berkongsi karya ini dengan semua pendengar.
“Namun, atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, kami mengambil keputusan untuk menangguhkan pelancarannya ke 3 Julai 2026.”
“Saya percaya setiap karya mempunyai waktunya yang tersendiri untuk diraikan. Saya amat menghargai kesabaran, doa dan sokongan berterusan daripada peminat yang sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan seni ini,” katanya.
Renjana Jiwa merupakan karya terbaharu Hazami yang diterbitkan oleh Chevy Amry bersama Aszuad Zakaria, dengan susunan muzik, rakaman vokal latar, adunan dan mastering oleh Azlan Abu Hassan.
Lagu ini disifatkan sebagai sebuah naskhah yang sarat dengan emosi, menyentuh tentang perjalanan jiwa, kerinduan, harapan dan penerimaan dalam kehidupan.
Menurut penerbit & komposer lagu tersebut, Chevy Amry, Hazami hanya mengambil masa setengah jam untuk menyiapkan rakaman vokal di studio. '
''Saya amat selesa berkerjasama dengan Hazami kerana sifat profesionalisme. Saya juga merasa terharu kerana ini adalah kali pertama Hazami sudi menyanyikan lagu ciptaan orang lain sebagai single beliau", tambahnya lagi.
Pihak pengurusan kini dalam perancangan untuk shooting Muzik Video Rasmi pada bulan Julai.
Hazami dan pihak pengurusan juga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak media, rakan industri dan peminat atas kefahaman serta sokongan yang diberikan.
Renjana Jiwa kini dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 3 Julai 2026, di semua platform penstriman digital.