KUANTAN – Enam kanak-kanak antara 10 individu yang cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga–Raub berhampiran Kem Smart BKERP, Kampung Lebu, Bentong pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, dua daripada mangsa mengalami kecederaan agak parah di bahagian pinggang dan kaki.
Menurutnya, dua lagi mangsa dalam salah sebuah kereta terlibat dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi, Viva dan Bezza itu dilaporkan pada jam 11 pagi.
“Sepasukan anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak ke lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai untuk bantuan menyelamat, dibantu anggota dari BBP Raub,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, kemalangan tiga kenderaan itu melibatkan tiga mangsa lelaki, tiga mangsa wanita dan enam kanak-kanak termasuk tiga kanak-kanak perempuan. Semua mangsa tidak tersepit.
“Rawatan awal diberikan kepada mangsa yang cedera sebelum ketibaan pihak perubatan.
“Dua mangsa yang mengalami kecederaan agak parah diserahkan kepada pihak perubatan untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut melakukan kerja-kerja pembersihan jalan daripada kesan kemalangan sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.42 tengah hari.