ALOR SETAR – Kejadian kemalangan maut seorang pelajar latihan industri sebuah universiti awam baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran penting agar aspek penaksiran risiko diberi keutamaan sebelum sebarang tugasan diberikan kepada pelajar latihan industri.
Felo Penyelidik Institute for Business Competitiveness, Standards and Sustainability Initiative (IBCSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Ts Dr Syazwan Syah Zulkifly berkata, latihan industri penting untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai suasana kerja sebenar.
Namun katanya, pendedahan itu perlu dilaksanakan dalam persekitaran yang selamat serta mengambil kira tahap pengetahuan, pengalaman dan kompetensi pelajar.
“Pelajar masih berada dalam fasa pembelajaran. Mereka tidak boleh dianggap mempunyai tahap kemahiran dan pengalaman yang sama seperti pekerja tetap.
“Justeru, penglibatan mereka dalam sesuatu tugasan perlu ditentukan berdasarkan penilaian risiko, latihan yang diterima dan tahap penyeliaan yang disediakan oleh organisasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media kematian pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 23, ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di kolam tangki air Saujana Perdana di Sungai Buloh, Selangor yang disahkan akibat lemas.
Menurut pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan itu, tidak semua tugasan teknikal mempunyai tahap risiko yang sama walaupun kelihatan rutin.
Katanya, kerja penyelenggaraan dan operasi lapangan misalnya boleh mendedahkan individu kepada pelbagai hazard termasuk kerja di tempat tinggi, sistem elektrik, peralatan mekanikal, bahan kimia berbahaya, kawasan licin, ruang terkurung, tangki, pam dan aliran air.
“Persoalan utama bukan sama ada pelajar boleh melakukan kerja teknikal atau tidak, tetapi sama ada risiko tugasan tersebut telah dinilai sebelum pelajar diarahkan atau dibenarkan terlibat.
“Penaksiran risiko perlu dilakukan lebih awal sebagai langkah pencegahan, bukannya selepas berlakunya kemalangan,” ujarnya.
Beliau berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) turut memperuntukkan tanggungjawab kepada majikan untuk memastikan orang selain pekerja tidak terdedah kepada risiko keselamatan atau kesihatan akibat aktiviti kerja yang dijalankan.
Menurutnya, dalam konteks latihan industri, pelajar perlu dilihat sebagai individu yang berpotensi terjejas oleh aktiviti pekerjaan dan perlindungan sewajarnya perlu diberikan.
“Penaksiran risiko juga tidak seharusnya tertumpu kepada bahaya fizikal semata-mata.
“Ia perlu mengambil kira kesesuaian tugasan dengan tahap pengetahuan pelajar, keperluan latihan, prosedur kerja selamat, permit kerja, penggunaan peralatan perlindungan diri dan bentuk penyeliaan yang diperlukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa penglibatan pelajar dalam kerja berisiko tinggi seperti ruang terkurung, tempat tinggi, sistem elektrik dan pengendalian mesin bergerak perlu dinilai dengan lebih teliti.
Katanya, jika sesuatu tugasan memerlukan kompetensi khusus, permit kerja atau pemantauan berterusan, pelajar tidak wajar dilibatkan secara langsung tanpa kawalan keselamatan yang mencukupi.
“Bagi kerja di ruang terkurung misalnya, terdapat keperluan yang jelas melibatkan penilaian risiko, permit kerja, pengawasan kompeten, komunikasi dan pelan menyelamat.
“Kegagalan mematuhi prosedur ini boleh meningkatkan risiko kemalangan bukan sahaja kepada pekerja, malah pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Sehubungan itu, Syazwan Syah mencadangkan institusi pengajian tinggi dan pihak industri menilai semula kaedah pengurusan latihan industri, terutama bagi penempatan yang melibatkan kerja teknikal dan operasi berisiko tinggi.
Menurutnya, garis panduan yang lebih jelas perlu diwujudkan bagi menentukan tugasan yang sesuai dilaksanakan oleh pelajar, tugasan yang memerlukan penyeliaan rapi serta tugasan yang tidak boleh diberikan tanpa latihan atau kompetensi tertentu.
“Tujuannya bukan untuk menyekat proses pembelajaran, sebaliknya memastikan pengalaman industri yang diperoleh benar-benar memberi manfaat tanpa mendedahkan pelajar kepada risiko yang tidak terkawal,” katanya.
Beliau turut menggesa institusi pengajian tinggi supaya menilai lebih awal organisasi penerima latihan industri termasuk skop kerja, tahap risiko operasi, sistem penyeliaan dan saluran pelaporan keselamatan yang disediakan.
Pada masa sama, majikan disaran memastikan setiap pelajar menerima induksi keselamatan, taklimat kecemasan, penerangan hazard tempat kerja serta peralatan perlindungan diri yang bersesuaian.
“Keselamatan perlu menjadi budaya sejak di alam pengajian lagi. Pelajar juga perlu berani mendapatkan penjelasan atau memaklumkan kepada penyelia sekiranya merasakan sesuatu tugasan berisiko atau tidak selamat.
“Latihan industri adalah jambatan antara universiti dan alam pekerjaan. Namun, jambatan itu mesti dibina berasaskan keselamatan, penyeliaan dan tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.
Syazwan Syah menegaskan bahawa penaksiran risiko tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar memenuhi keperluan dokumentasi atau prosedur pentadbiran, sebaliknya merupakan langkah penting yang mampu mencegah kemalangan dan menyelamatkan nyawa.