Zara Qairina alami tekanan emosi termasuk insiden malam 15 Julai - Pakar Psikiatri

Iklan
Dr Haw Huo (gambar kiri) yang juga saksi ke-75 berkata, keterangan saksi yang tersedia menggambarkan berlakunya satu konfrontasi secara berkumpulan terhadap Zara Qairina.

KOTA KINABALU – Pakar Psikiatri, Dr Wong Haw Huo berpendapat peristiwa yang berlaku pada 15 Julai 2025 melibatkan Zara Qairina Mahathir mempunyai kepentingan klinikal daripada perspektif psikiatri.

Dr Wong Haw Huo yang juga saksi ke-75 dalam inkues kematian remaja itu berkata, keterangan saksi yang tersedia menggambarkan berlakunya satu konfrontasi secara berkumpulan terhadap Zara Qairina.

Iklan
Iklan

"Keterangan saksi yang tersedia menggambarkan berlakunya satu konfrontasi secara berkumpulan yang melibatkan tuduhan, pemeriksaan barang-barang milik si mati, komen negatif, ejekan secara terbuka, keadaan si mati yang kelihatan tertekan, menangis, menafikan tuduhan serta kemudiannya mengasingkan diri.

Saksi itu turut menyatakan bahawa bahan yang diteliti menggambarkan Zara Qairina berada dalam keadaan emosi yang amat terganggu selepas konfrontasi tersebut sebelum kemudiannya mengasingkan diri.

Iklan

"Ketiadaan sokongan atau usaha menenangkan si mati daripada rakan-rakan sejurus selepas konfrontasi itu merupakan satu perkara yang signifikan dari sudut klinikal.

"Si mati kemudiannya dilaporkan bersendirian dalam tempoh yang agak lama ketika berada dalam keadaan tertekan.

Iklan

"Keterangan saksi turut menggambarkan pemerhatian terhadap keadaan si mati yang menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi, pengasingan diri dan tingkah laku luar kebiasaan pada awal pagi 16 Julai 2025," katanya.

Tambah beliau, dari perspektif psikiatri, keadaan tertekan, pengasingan diri dan tingkah laku luar kebiasaan selepas konfrontasi itu berkemungkinan mencerminkan tekanan emosi yang akut, rasa terhina, malu, emosi yang terlalu membebankan serta keupayaan mengawal emosi yang semakin berkurangan.

"Tempoh antara konfrontasi pada 15 Julai 2025 dengan insiden yang berlaku pada awal pagi 16 Julai 2025 mempunyai kepentingan klinikal.

"Bahan yang diteliti menunjukkan si mati mengalami gangguan kawalan emosi secara akut yang berlaku dalam tempoh yang sangat hampir dengan peristiwa pada 15 Julai 2025.

"Dalam keadaan sedemikian, pertimbangan, keupayaan berfikir secara rasional serta keupayaan mengawal tingkah laku berkemungkinan telah terjejas," katanya.

Secara keseluruhan, Dr Wong Haw Huo merumuskan bahawa Zara Qairina mengalami tekanan emosi yang terkumpul hasil gabungan faktor kerentanan perkembangan diri, kepekaan terhadap hubungan rapat, ciri-ciri impulsif serta tekanan hubungan interpersonal yang semakin meningkat dalam persekitaran sekolah berasrama.

"Faktor-faktor kerentanan tersebut saling berinteraksi dengan salah faham yang berulang dalam hubungan interpersonal, penyebaran khabar angin, pemulauan sosial, konflik dengan rakan sebaya, tuduhan serta pengalaman yang dianggap memalukan berkaitan peristiwa pada 15 Julai 2025.

"Bahan yang diteliti juga menunjukkan si mati masih memiliki beberapa kekuatan, termasuk keupayaan bergaul dengan orang lain, kebolehan membuat refleksi diri, usaha memperbaiki hubungan dengan orang lain, mempunyai harapan terhadap masa depan, pendekatan berasaskan agama dalam menghadapi tekanan serta hubungan yang kekal penting dari sudut psikologi dengan ibunya.

"Berdasarkan imbangan kebarangkalian, peristiwa pada 15 Julai 2025 merupakan satu tekanan hubungan interpersonal yang berlaku secara mendadak dalam keadaan psikologi si mati yang sememangnya sudah berada di bawah tekanan emosi.

"Dari sudut klinikal, adalah munasabah untuk berpendapat bahawa pada ketika itu, si mati mengalami gangguan kawalan emosi secara akut yang dikaitkan dengan penurunan keupayaan untuk berfikir secara mendalam dan berkurangnya keupayaan menggunakan strategi daya tindak yang sesuai secara berkesan," katanya.

Bagaimanapun, dalam masa sama beliau menegaskan bahawa pendapatnya itu tidak menentukan secara tepat niat sebenar yang wujud dalam diri si mati pada waktu kejadian.

"Disebabkan penilaian ini dibuat secara retrospektif dan tiada pemeriksaan psikiatri secara langsung dapat dijalankan semasa si mati masih hidup, sebarang kesimpulan muktamad mengenai keadaan mental atau niat khusus si mati tidak dapat dibuat.

"Pendapat saya juga tertakluk kepada beberapa batasan kerana ia bergantung kepada keterangan pihak ketiga, dokumen, bahan penulisan, rakaman audio, temu bual dengan pihak berkaitan serta bahan-bahan inkues.

"Bagaimanapun, bukti yang tersedia menyokong satu rumusan psikiatri bahawa si mati mengalami tekanan hubungan interpersonal yang terkumpul serta tekanan emosi yang amat memuncak dalam konteks pengalaman beliau di sekolah berasrama," katanya.