SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman diumum sebagai calon tunggal parti itu yang akan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Exco Pejuangnita Malaysia itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
"Ini satu-satunya kerusi yang kita bertanding di Johor dan tidak lebih dari itu. Kita merasakan bahawa dengan gandingan bersama parti komponen dalam PN, peluang untuk menang cerah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika penstriman langsung majlis pengumuman calon PN DUN Gambir di Facebook pada Khamis.
Setakat Khamis malam, PN mengumumkan calon bagi 33 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor.
Daripada jumlah itu, Pas bertanding di 11 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 16 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dengan lima kerusi manakala Pejuang hanya diperuntukkan satu kerusi di bawah payung PN.
Pengumuman calon-calon dibuat dalam empat majlis berasingan semalam.
Dalam pada itu Mukhriz memaklumkan, Suraya merupakan calon tempatan dan pemimpin politik yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, ahli pernigaan dalam bidang kesihatan dan kecantikan itu mempunyai pengalaman dalam memperkasa komuniti wanita, belia dan keluarga melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain aktif advokasi politik serta kepimpinan akar umbi.
"Saya rasa tiada masalah untuk meletakkan calon wanita kerana dalam isu kenaikan kos sara hidup, golongan ini lebih memahami situasi dihadapi.
"Jadi tanpa ragu-ragu saya 'endorse' Suraya untuk memperjuangkan isu tersebut," ujarnya.