PAPAR - Kanak-kanak yang dilaporkan tergelincir ketika bermain di tepi sungai ditemukan meninggal dunia di Kampung Manggis, dekat sini, pada petang Khamis.
Mayat Najmal Walki, 8, ditemukan tersangkut pada paip pam air di kampung tersebut iaitu kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Ronny Sikawan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga dijalankan dari Sungai Papar, Sungai Kabang sehingga ke Sungai Ovai.
"Radius pencarian sejauh tiga kilometer menggunakan teknik pencarian permukaan sungai dengan bot rafting.
"Pada jam 5.02 petang, pihak Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat penampakan mangsa tersangkut pada paip pam air di Kampung Manggis," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pasukan bomba ke lokasi dan mendapati terdapat mangsa lemas seperti dilaporkan.
"Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ronny berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.12 petang.