SUBANG JAYA - Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi penjagaan kesihatan terkemuka di rantau Asia-Pasifik apabila diiktiraf sebagai hospital dengan bilangan kepakaran tersenarai terbanyak di Malaysia bagi tahun ketiga berturut-turut.
Pengiktirafan itu berdasarkan penarafan Best Specialized Hospitals Asia Pacific 2026 oleh Newsweek yang menyenaraikan SJMC sebagai hospital nombor satu di ASEAN bagi kepakaran Gastroenterologi selain menduduki tempat pertama di Malaysia dalam lima bidang perubatan.
Lima kepakaran berkenaan ialah Onkologi, Ortopedik, Gastroenterologi, Pulmonologi dan Pediatrik.
Di peringkat Asia-Pasifik, hospital itu turut berada dalam kelompok 25 terbaik bagi kepakaran Pediatrik, Ortopedik dan Gastroenterologi, selain tersenarai dalam kelompok 50 terbaik bagi Endokrinologi, Pembedahan Jantung, Neurologi dan Onkologi serta 75 terbaik bagi Kardiologi, Bedah Saraf dan Pulmonologi.
Pencapaian berkenaan mencerminkan pelaburan berterusan dalam memperkukuh kecemerlangan klinikal dan kepakaran multidisiplin, termasuk menerusi program pemindahan hati serta pasukan pediatrik yang merangkumi 12 subkepakaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Subang Jaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia OneHealthcare, Bryan Lin berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan hospital berkenaan dalam menyediakan rawatan khusus bertaraf dunia dengan mengutamakan pengalaman pesakit.
"Pengiktirafan merentasi 10 kepakaran dan kedudukan tertinggi dalam kalangan hospital Malaysia bagi lima kategori, khususnya perkhidmatan pediatrik yang dibina atas legasi penjagaan selama 41 tahun, merupakan satu lagi pencapaian penting buat kami.
"Ia mencerminkan keluasan kepakaran pasukan multidisiplin kami serta komitmen menyediakan rawatan khusus yang memenuhi penanda aras global," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pengiktirafan itu turut menjadi pemangkin untuk hospital berkenaan terus melabur dalam pembangunan tenaga kerja, teknologi dan kecemerlangan klinikal selaras usaha memperluaskan keupayaan dalam rawatan kompleks, neurosains serta perkhidmatan pemindahan organ.
"Matlamat kami jelas iaitu memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang tepat, diperibadikan dan berkualiti tinggi pada setiap peringkat perjalanan penjagaan mereka," katanya.
Penarafan tahunan itu disusun oleh Newsweek dengan kerjasama firma analitik data global, Statista yang menilai 925 institusi penjagaan kesihatan merentasi 10 kepakaran perubatan di rantau Asia-Pasifik berdasarkan saranan pakar antarabangsa, metrik kualiti hospital serta petunjuk pengalaman pesakit.
Awal tahun ini, hospital berkenaan turut disenaraikan dalam World's Best Hospitals 2026 oleh Newsweek apabila berada dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia dan 10 hospital terbaik di ASEAN.
SJMC juga merupakan hospital pertama di rantau Asia-Pasifik yang memiliki empat pensijilan Pusat Kecemerlangan daripada Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) bagi bidang Onkologi, Kardiologi, Gastroenterologi dan Perkhidmatan Pediatrik.
Dengan pengalaman operasi melebihi empat dekad, hospital itu terus memperluaskan perkhidmatan rawatan khusus termasuk pemindahan sumsum tulang dan neurosains, sekali gus menyokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang diyakini di rantau ini.