KUALA LUMPUR – Generali Malaysia dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, melancarkan Gen Sinar, pelan insurans kemalangan diri mampu milik yang direka khas bagi membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan perlindungan kewangan.
Pelan berkenaan diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan.
Majlis pelancaran yang dianjurkan Generali Malaysia itu berlangsung di Kompleks Komuniti Muhibbah dan turut dihadiri wakil AmanahRaya, Kedutaan Itali di Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti, pengamal media serta masyarakat setempat.
Menurut Generali Malaysia, Gen Sinar dibangunkan berasaskan pemahaman terhadap cabaran dan aspirasi komuniti kurang berkemampuan yang sentiasa berusaha memastikan anak-anak mereka memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik.
Walaupun keperluan asas harian menjadi keutamaan kebanyakan keluarga, khususnya keluarga dengan penyara tunggal, mereka pada masa sama turut memikirkan kestabilan kewangan jangka panjang serta risiko kejadian tidak dijangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kesejahteraan keluarga.
Di Malaysia, akses kepada perlindungan kewangan yang mencukupi dan mampu milik bagi golongan kurang berkemampuan masih terhad, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan tidak dijangka.
Menyedari cabaran itu, Gen Sinar diperkenalkan bagi membantu merapatkan jurang tersebut dengan menyokong kesinambungan pendidikan anak-anak serta memperkukuh daya tahan kewangan keluarga untuk jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad, Fabrice Benard berkata, Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah merupakan inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan berdasarkan model bukan untung.
“Kami berkongsi aspirasi komuniti dan percaya bahawa pendidikan merupakan kunci untuk memutuskan kitaran kemiskinan.
“Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga kurang berkemampuan, kami berhasrat memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun berdepan situasi yang sangat mencabar,” katanya.
Beliau berkata, Gen Sinar diwujudkan dengan matlamat membantu melindungi masa depan kanak-kanak menerusi sokongan pendidikan yang berterusan.
Katanya, matlamat tersebut selaras dengan The Human Safety Net (THSN), gerakan global Generali yang komited memperkasa komuniti rentan.
Melalui pelan itu, peserta hanya perlu membayar serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya, termasuk duti setem, kos penyerahan mutlak dan surat ikatan amanah serta cukai perkhidmatan lapan peratus.
Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, pelan tersebut menyediakan manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Selain itu, setiap anak layak menerima elaun pendidikan bulanan RM250 sehingga berumur 18 tahun, dengan jumlah manfaat keseluruhan sehingga RM100,000.
Dalam pada itu, Gen Sinar turut menawarkan manfaat rundingan teleperubatan percuma bagi isu kesihatan fizikal dan mental untuk membantu komuniti kurang berkemampuan mendapatkan akses awal kepada nasihat perubatan.
Melalui kemudahan tersebut, peserta dan ahli keluarga mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan bertauliah menerusi panggilan telefon atau video.
Kemudahan itu menyediakan sehingga dua sesi rundingan setahun dengan nilai manfaat sehingga RM60 bagi setiap sesi, sekali gus membantu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah dan mampu milik.
Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar akan diuruskan oleh AmanahRaya selaku pemegang amanah.
Inisiatif itu mencerminkan kerjasama erat antara Generali dan AmanahRaya yang dibina berlandaskan aspirasi bersama untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti serta masa depan anak-anak.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak komited memastikan dana yang diperuntukkan dilindungi, diurus secara telus dan dipegang secara amanah bagi tujuan pendidikan anak-anak.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya Berhad, Jack Yap Ngee Heong berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir daripada mendapatkan perlindungan kewangan dan sokongan pendidikan.
“Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya memikul tanggungjawab yang lebih luas bukan sahaja dalam melindungi kepentingan benefisiari, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
“Melalui Gen Sinar, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga yang memerlukan, di samping memastikan dana yang diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak dilindungi dan diurus secara telus demi manfaat masa depan mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Gen Sinar boleh melayari laman sesawang rasmi Generali Malaysia.