KUANTAN - Lapan pasangan kembar antara 5,000 pelajar baharu yang mendaftar masuk bagi mengikuti pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gambang dan Kuantan di sini.
Kemasukkan serentak tiga pasangan kembar lelaki dan lima pasangan kembar perempuan itu melakar sejarah tersendiri apabila mengatasi rekod lima pasangan kembar yang mendaftar masuk universiti berkenaan tahun lalu.
Pasangan kembar, Elya Dania dan Elya Diana Azman, 18 bersyukur apabila impian mereka untuk melanjutkan pengajian ke universiti itu tercapai.
Menurutnya, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin demi mencapai cita-cita untuk menjadi jurutera kimia dan pegawai perubatan selepas tamat pengajian.
"Kami akan berusaha dan belajar bersungguh-sungguh demi memburu cita-cita, seterusnya membanggakan ibu dan bapa.
"Walaupun ditempatkan di bilik berbeza, kami masih di kampus sama di Gambang ini. Tiada masalah pun kerana tujuan utama kami di sini untuk berjaya dalam pelajaran," ujar mereka ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, pasangan kembar dari Klang, Selangor Siti Nur Damia Tasnif dan kembarnya, Siti Nur Dania Tasnim Luqman, 18 mengakui teruja dan bangga dapat melanjutkan pengajian di UIAM.
Siti Nur Damia Tasnif berkata, faktor persekitaran yang sentiasa mengutamakan tuntutan syariat antara faktor mereka memilih universiti itu sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian.
"Selain akademik, difahamkan kami turut berpeluang mengikuti kelas-kelas agama disediakan pihak universiti.
"Pada masa sama kami bersyukur dapat peluang belajar di sini seperti yang diimpikan sebelum ini," ujarnya yang memilih jurusan sains fizikal, sama seperti kembarnya.
Sementara itu Nur Dhia Danisha Muhammad Yusri dan adiknya, Nur Adini Darwisya masing-masing berusia 18 tahun gembira dapat melanjutkan pengajian di universiti itu.
Bagaimanapun mereka memilih jurusan berbeza iaitu Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar dan jururawat.
"Sokongan ibu dan bapa menambahkan lagi semangat kami untuk memilih UIAM sebagai pilihan pertama," ujarnya.
Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan, Nazira Zubir berkata,kemasukan lapan pasangan kembar serentak kali pertama dicatatkan di Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan.
Menurutnya, tahun lalu universiti itu menerima lima pasangan kembar.
"Hari ini (semalam) kita menerima lapan pasangan kembar membabitkan tiga pasang lelaki dan lima pasang perempuan.
"Empat daripada pasangan kembar itu mengikuti pengajian di kampus Gambang manakala empat pasangan lagi di kampus Kuantan," katanya.