Hampir enam tahun jadikan anak hamba seks hingga hamil, bapa dipenjara 39 tahun

Iklan
Siasatan mendapati mangsa yang kini berusia 17 tahun 10 bulan dipercayai dipaksa melakukan hubungan seksual oleh bapa kandungnya itu sejak berusia 12 tahun. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 39 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya sehingga hamil.

Hakim Datin M Kunasundary memerintahkan tertuduh yang berusia 46 tahun itu menjalani hukuman penjara secara berasingan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Jun lepas.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh masing-masing dipenjara 12 tahun berserta tiga dan dua sebatan.

Kunasundary dalam penghakimannya menegaskan bahawa hukuman berat itu perlu bagi memberi pengajaran yang mendalam kepada tertuduh serta masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan serupa.

Iklan

"Namun kesalahan dilakukan tertuduh amat keji dan penderitaan dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh ibarat haruan makan anak," kata hakim itu.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan, selain diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki yang tidak diwakili peguam itu didakwa merogol mangsa sekitar awal 2024, hujung 2024 dan bulan ini, di sebuah rumah di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. Suloshani.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas tertuduh membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan dan doktor mengesahkan remaja perempuan itu hamil enam minggu empat hari.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan hospital berkenaan pada 18 Jun lepas.

Siasatan mendapati mangsa yang kini berusia 17 tahun 10 bulan dipercayai dipaksa melakukan hubungan seksual oleh bapa kandungnya itu sejak berusia 12 tahun. - Bernama