Penolong jurutera didakwa 146 pertuduhan rasuah, terima suapan RM183,500

Iklan
Seorang penolong jurutera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 146 pertuduhan.

IPOH - Seorang penolong jurutera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 146 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM183,500, empat tahun lalu.

Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Jurutera di Bahagian Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian, didakwa menerima wang tunai tanpa balasan daripada seorang individu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 3 Januari 2022 hingga 11 Oktober 2023 di sekitar daerah Kerian.

Iklan

Tertuduh didakwa memperoleh wang tunai melalui transaksi sebelum mengeluarkannya menggunakan kad ATM miliknya, sedangkan beliau mengetahui individu tersebut mempunyai hubungan dengan urusan rasmi yang dikendalikannya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan RM146,000 bagi semua pertuduhan.

Beliau turut mengemukakan syarat tambahan agar tertuduh lapor diri ke Pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam P Ravee memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah selain menanggung komitmen kewangan termasuk bayaran ansuran rumah dan kereta dengan pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

Pembelaan turut memaklumkan jumlah jaminan yang ditawarkan adalah di luar kemampuan tertuduh yang kini telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak di Ipoh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat-syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh 26 Ogos depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.