NIBONG TEBAL- Seorang lelaki yang berstatus bankrap mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi di sini pada Khamis atas 207 pertuduhan berkaitan memasuki kontrak dan menggunakan jawatan pengarah syarikat bagi urusan perniagaan.
Tertuduh, Tang Wee Tat, 62, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
Mengikut enam pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa menandatangani enam surat setuju terima dengan menggunakan jawatan sebagai pengarah walaupun berstatus bankrap.
Dia yang juga bekas pengurus projek dituduh melakukan keenam-enam kesalahan itu antara 10 Mei 2023 hingga 21 Ogos 2023.
Selain itu, tertuduh turut didakwa menandatangani 201 surat-menyurat rasmi syarikat menggunakan jawatan sama bagi menjalankan urusan perniagaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 26 November 2021 hingga 6 Mei 2024.
Kesemua pertuduhan itu dilakukan di kawasan Batu Kawan, dalam daerah Seberang Perai Selatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang bankrap yang belum dilepaskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau Mahkamah telah menjalankan perniagaan atau memasuki kontrak untuk perniagaan dengan menandatangani 'Letter Of Award' dan surat menyurat sebagai Pengarah Global Max Resources Sdn Bhd dengan Lien Dak Engineering Sdn Bhd.
Tindakan itu didakwa dibuat tanpa memberitahu Lien Dak Engineering Sdn Bhd bahawa tertuduh adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan sebelum menjalankan perniagaan atau memasuki kontrak tersebut.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Insolvensi 1967 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Jenayah Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Inspektor Ain Najwa Abdul Nasser manakala tertuduh diwakili peguam, K Thangesvaran.
Ain Najwa menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Wee Tat.
Thangesvaran kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan anak guamnya telah berstatus bankrap sejak 2017.
"Tertuduh berusia 62 tahun dan perlu menyara isteri. Dia juga mempunyai dua anak yang sudah berkahwin. Dia juga mengidap penyakit buah pinggang dan perlu mendapatkan rawatan di hospital secara berkala.
"Selain itu, tujuan jaminan adalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah, bukannya untuk hukuman. Dia juga tidak dibenarkan ke luar negara kerana statusnya (bankrap)," katanya.
Nurul Aina menetapkan wang jaminan RM60,000 dan menangguhkan kes sehingga 28 Julai untuk serahan dokumen.