Bukan eksklusif Zara Qairina seorang sahaja, diari dikongsi individu lain -Pakar

Iklan
Pakar mengakui, kekurangan sampel tulisan tempoh waktu yang sama menjadi antara faktor yang mengehadkan analisis. Gambar kecil: Zara Qairina

KOTA KINABALU - Pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion menegaskan bahawa diari yang dianalisis beliau bukan eksklusif milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir, sebaliknya merupakan jurnal yang turut digunakan oleh individu lain.

Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Dana Arabi Wazani dalam prosiding inkues kematian remaja tersebut, menyentuh kewujudan catatan bertarikh dalam beberapa halaman W3 yang sebelum ini diterima sebagai tulisan Zara Qairina Mahathir.

Iklan
Iklan

Menurut Dr Linthini, apabila ditanya mengenai halaman W3 yang mengandungi catatan bertarikh, beliau mengakui kewujudan entri tersebut namun menegaskan ia tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa jurnal berkenaan ditulis secara eksklusif oleh seorang individu sahaja.

"Betul, tetapi ini adalah jurnal yang dikongsi, ia bukan jurnal eksklusif untuk Zara seorang sahaja," katanya.

Iklan

Dalam keterangannya, beliau menjelaskan bahawa sifat jurnal berkongsi itu menunjukkan kemungkinan penggunaan oleh lebih daripada seorang penulis, sekali gus menjadikan kewujudan catatan bertarikh tidak boleh digunakan secara automatik untuk menentukan kepengarangan tunggal sesuatu tulisan.

Dr Linthini turut menyatakan bahawa dalam analisis keseluruhan dokumen, terdapat beberapa perbezaan ketara ciri tulisan tangan yang ditemui, namun perbezaan tersebut tidak mencukupi untuk beliau membuat kesimpulan muktamad sama ada sesuatu tulisan itu milik atau bukan milik individu tertentu.

Iklan

Antara ciri yang diperhatikan termasuk kewujudan bentuk huruf 'T' yang luar biasa serta tabiat mencatat tarikh dalam dokumen Y1A hingga Y10A, yang didapati tidak selari dengan gaya penulisan biasa subjek yang diperiksa.

Dalam pada itu, Dr Linthini turut mengesahkan bahawa W2 bukan merupakan jurnal peribadi yang eksklusif, sebaliknya mengandungi tulisan oleh lebih daripada seorang individu.

Beliau menegaskan, kewujudan tulisan orang lain dalam W2 menunjukkan kemungkinan akses oleh pihak lain, namun akses tersebut tidak boleh dijadikan asas untuk mengaitkan kepengarangan dokumen berbeza secara langsung.

Tambahnya, semua dokumen yang diperiksa diklasifikasikan sebagai 'dokumen dipersoalkan' dan perlu dinilai secara berasingan berdasarkan ciri tulisan masing-masing.

Bagi analisis W3 pula, beliau memaklumkan, tulisan dalam dokumen berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan perbezaan ciri yang ditemui.

Sebahagian kumpulan tidak dapat diputuskan kerana kekurangan sampel sezaman, manakala sebahagian lagi dikenal pasti sebagai tulisan Zara Qairina Mahathir.

Beliau menjelaskan bahawa perbandingan antara kumpulan tidak dapat dilakukan secara langsung kerana semua bahan tersebut berada dalam kategori dokumen yang dipersoalkan.

"Kami tidak boleh berbuat demikian kerana semuanya adalah tulisan yang dipersoalkan," katanya.

Menurut beliau lagi, dalam kumpulan yang tidak dapat disimpulkan, terdapat kedua-dua persamaan dan perbezaan ciri tulisan tangan berbanding kumpulan yang dikenal pasti sebagai tulisan subjek tersebut.

Antara ciri yang diperhatikan termasuk bentuk huruf 'T', struktur huruf 'J', 'G', dan 'Y' serta tahap kawalan dalam penulisan.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keputusan 'tiada kesimpulan' tidak bermaksud menolak atau mengesahkan kepengarangan, sebaliknya ia menunjukkan keadaan yang tidak dapat ditentukan secara muktamad.

"Ia tidak boleh jatuh sama ada kepada pengenalpastian positif atau penolakan negatif,"  jelas beliau.

Dr Linthini turut mengakui, kekurangan sampel tulisan tempoh waktu yang sama menjadi antara faktor yang mengehadkan analisis, khususnya dalam menilai variasi tulisan seorang penulis remaja yang mungkin lebih berubah-ubah berbanding penulis dewasa.

Secara keseluruhan, beliau menegaskan bahawa semua dapatan analisis bergantung kepada bahan yang tersedia dan tidak boleh digunakan secara automatik untuk mengaitkan atau menolak kepengarangan tanpa penilaian menyeluruh serta sampel tambahan yang mencukupi.

Sebelum itu, inkues didengar oleh Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan dan dikendalikan oleh pegawai pengendali iaitu Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.