e-Tanah 2.0 lonjak kecekapan pentadbiran tanah

Iklan
NORAINI

NORAINI

MELAKA - Pelaksanaan Sistem e-Tanah 2.0 Negeri Melaka bukan sekadar mempercepatkan urusan pentadbiran tanah, malah menjadi platform penting dalam membantu kerajaan negeri merancang pembangunan secara lebih strategik berasaskan data.

Iklan
Iklan

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka, Datuk Noraini Tawel berkata, sistem baharu itu merupakan satu lonjakan dalam usaha pendigitalan perkhidmatan tanah yang memberi manfaat kepada pentadbiran kerajaan serta rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menetapkan sasaran khusus dari segi jumlah transaksi atau peningkatan hasil menerusi pelaksanaan sistem tersebut.

Iklan

“Sebaliknya, fokus utama adalah memastikan segala urusan berkaitan tanah dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan telus, selain menjadikan data yang dikumpulkan sebagai asas kepada proses membuat keputusan.

“Sistem e-Tanah 2.0 membolehkan pelbagai maklumat berkaitan pemilikan tanah disimpan secara sistematik dan diakses dengan mudah apabila diperlukan.

Iklan

“Maklumat yang direkodkan boleh dijana dalam bentuk laporan dengan pantas berbanding kaedah manual yang memerlukan semakan dan penyelarasan data daripada pelbagai sumber,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, sebagai contoh, sekiranya kerajaan negeri ingin mengetahui jumlah tanah adat Melayu atau Malay Customary Land (MCL) di Melaka, sistem itu mampu menjana laporan lengkap termasuk keluasan dan lokasi tanah berkenaan.

Katanya, maklumat tersebut boleh digunakan bagi mengenal pasti kawasan yang mempunyai pemilikan tanah Melayu yang tinggi sebelum merangka dasar atau program pembangunan yang bersesuaian untuk masyarakat setempat.

Ujarnya, pertambahan rekod hak milik tanah yang direkodkan dari semasa ke semasa juga membolehkan kerajaan mengenal pasti kawasan yang sedang berkembang pesat serta mempunyai potensi pembangunan.

“Melalui integrasi dengan Sistem Maklumat Geografi (GIS), kita boleh melihat kawasan yang sedang mengalami pertumbuhan pesat sama ada di Melaka Tengah, Alor Gajah atau Jasin dan seterusnya merancang keperluan pembangunan infrastruktur yang bersesuaian.

“Data yang diperoleh daripada e-Tanah 2.0 juga boleh digunakan untuk mempromosikan peluang pelaburan dengan menunjukkan kawasan yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi kepada pelabur,” katanya.

Noraini berkata, sebelum ini proses untuk mendapatkan data dan menyediakan laporan berkaitan tanah mengambil masa lebih lama kerana maklumat tidak dikumpulkan secara menyeluruh dalam satu platform bersepadu.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan e-Tanah 2.0, pelbagai laporan dan analisis boleh dijana dengan lebih pantas sekali gus meningkatkan kecekapan proses membuat keputusan di peringkat kerajaan negeri.

Beliau berkata, pengguna yang berdaftar turut menikmati pelbagai kemudahan secara dalam talian termasuk membuat permohonan, menyemak status urusan, melakukan pembayaran dan melihat maklumat hak milik yang telah didaftarkan tanpa perlu hadir ke pejabat tanah.

“Ia juga akan mengurangkan kehadiran fizikal pengguna dan orang awam serta meningkatkan proses penyampaian dengan proaktif dan lebih responsif.

“Semua proses kerja, dokumen dan borang berkanun didigitalkan dalam satu sistem daripada peringkat permohonan sehingga pendaftaran hak milik atau geran,” katanya.

Noraini berkata, ketika ini Melaka mempunyai lebih 455,000 hak milik tanah dan pengurusan jumlah rekod yang besar itu memerlukan sistem yang cekap serta bersepadu bagi memastikan urusan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan teratur.

Tambah beliau, sistem berkenaan turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termasuk jejak audit (audit trail), kod QR dan pengesahan One Time Password (OTP) bagi mengurangkan risiko pemalsuan dokumen serta penipuan hak milik tanah.

Beliau berharap orang awam bersedia menerima perubahan ke arah perkhidmatan digital dan bersama-sama menyokong pelaksanaan e-Tanah 2.0 yang akan terus ditambah baik secara berterusan.

Ia adalah hasil kerjasama tiga pihak antara Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JKPTG, Negeri melaka melalui PTG Negeri Melaka dan syarikat pembangun sistem, Puncak Tegap Sdn Bhd.