SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes seorang pelajar sebuah sekolah menengah yang dipercayai lemas di Bangi semalam kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Untuk itu, JPN Selangor memohon semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi, yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
"JPN Selangor sedang menguruskan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang, serta memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah yang terkesan diberi perhatian.
"JPN Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” menurut JPN dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang berhampiran pintu pagar sebuah kolej di Bangi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.23 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.40 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 2.20 petang apabila mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam longkang.
"Mangsa kemudiannya telah dihanyutkan arus ke kawasan tadahan air berhampiran. Pihak bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat berjaya menemukan mangsa pada 5.55 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh," katanya.
Naazron berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes melalui talian 017-3987188 bagi membantu siasatan. - Bernama