Bayar banglo, Porsche, Lexus, ahli Ikram didakwa cuci wang hampir RM18 juta

Iklan
Fakhrudin didakwa atas 17 pertuduhan AMLA antaranya membayar rumah banglo dan enam kereta mewah seperti dua Porsche serta Lexus hampir RM18 juta antara 2021 hingga 2025.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ikram Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram antaranya membayar rumah banglo dan enam kereta mewah seperti dua Porsche serta Lexus hampir RM18 juta antara 2021 hingga 2025.

Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM17,997,671.21.

Ia dibuat bagi empat pembayaran rumah banglo (RM10,542,650.10), tiga bayaran kad kredit milik tertuduh (RM2,660,236.59) dan 10 pembayaran bagi enam kenderaannya iaitu Mercedes Benz AMG S63, Land Rover Range Rover SVA-BIO V8 SC, Toyota Alphard S-C Package, dua Porsche dan Lexus RX300 (RM4,794,784.52). 

Iklan

Pemindahan dibuat menerusi transaksi dari akaun bank milik Ehsan Cares Solution ke tiga akaun syarikat lain dan satu kad kredit visa platinum milik tertuduh serta satu lagi dari akaun milik tertuduh ke akaun sebuah syarikat bagi pembayaran sebuah Porsche.

Bagi pembayaran kenderaan jenis Lexus RX300 pula dibuat melalui cek dari akaun bank Fakhrudin ke akaun syarikat lain.

Iklan

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.

Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.  

Pada 16 Jun lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98,270,315.20.

AKAN MENYUSUL