WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertikam lidah dengan Senator Republikan, Bill Cassidy dalam satu mesyuarat tertutup apabila wujud perbezaan pandangan berhubung hala tuju perang Iran serta perjanjian rangka kerja antara Washington dan Teheran.
Pertikaman lidah itu berlaku ketika pentadbiran Trump berdepan tekanan dalaman susulan peningkatan kos konflik, selain persoalan sama ada objektif awal perang tersebut telah dicapai.
Beberapa ahli Republikan yang hadir dalam mesyuarat berkenaan berkata, Trump dan Cassidy terlibat dalam pertukaran kata-kata tegang apabila senator itu meminta penjelasan lanjut mengenai perjanjian yang ditandatangani minggu lalu.
Menurut Cassidy, perjanjian berkenaan memberikan insentif kewangan kepada Iran, namun tidak memenuhi matlamat yang diumumkan pentadbiran Trump pada peringkat awal perang.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju dasar semasa pentadbiran AS terhadap konflik tersebut.
“Ia tidak kelihatan, walaupun saya tidak pasti sepenuhnya, bahawa perjalanan ini bergerak seperti apa yang dimaklumkan kepada kami,” katanya.
Insiden itu mencerminkan tekanan politik semakin ketara dalam kalangan Republikan sendiri menjelang pilihan raya November yang bakal menentukan penguasaan Kongres AS.
Sehari sebelum pertemuan itu, Senat mengundi untuk mendesak Trump menamatkan perang, dalam satu teguran simbolik terhadap dasar White House.
Cassidy antara empat senator Republikan yang menyokong resolusi berkenaan bersama ahli Demokrat pembangkang.
Trump bagaimanapun tidak memberi komen mengenai pertikaman lidah tersebut ketika ditanya media, sebaliknya mempertikaikan keputusan Senat yang disifatkannya tidak memberi kesan kepada Iran.
“Iran sees that, they go ‘what’s that all about.’ Now you know, it’s meaningless, right?” katanya di Rumah Putih.
Beberapa jam selepas ketegangan itu, pentadbiran Trump memohon peruntukan tambahan sebanyak AS$70 bilion daripada Kongres bagi menampung kos perang, selain bajet ketenteraan AS sedia ada berjumlah AS$867 bilion.
Perkembangan itu dilihat menambah tekanan kepada Trump apabila isu perang Iran kini turut mencetuskan perpecahan pandangan dalam parti sendiri.