GAZA – Di sebalik runtuhan bangunan, khemah pelarian dan suasana perang yang tidak berkesudahan, sekumpulan kecil anak muda di Gaza mencari ketenangan di laut melalui sukan luncur ombak, menjadikan hamparan laut sebagai ruang sementara untuk melupakan tekanan hidup harian.
Kehadiran mereka dengan membawa papan luncur merentasi kawasan pantai yang dikelilingi kesan kemusnahan,berjalan menuju ke Laut Mediterranean untuk meneruskan minat yang semakin sukar dipertahankan akibat konflik berpanjangan.
Di pantai, mereka melakukan persiapan ringkas sebelum menempuh ombak, manakala beberapa kanak-kanak kelihatan bermain di kawasan air cetek.
Bagi Tahseen Abu Assi, 23, sukan luncur ombak bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi satu bentuk pelepasan emosi daripada realiti kehidupan di Gaza yang penuh tekanan.
“Sukan ini sukar digambarkan. Apabila kita berjaya 'mengawal' ombak, perasaan itu memberi ketenangan yang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata,” katanya.
Menurutnya, minat terhadap sukan tersebut bermula daripada bapanya yang juga pernah melayari ombak di pantai yang sama, sebelum dia meneruskan tradisi itu secara berperingkat sejak kecil.
“Kami belajar sedikit demi sedikit. Walaupun berdepan peperangan, pengeboman dan kemusnahan, kami tetap teruskan kerana ia memberi ruang untuk kami bernafas dan berasa lebih tenang,” katanya.
Gaza masih tidak stabil
Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas pernah dikuatkuasakan selepas konflik berpanjangan, keadaan di Gaza masih jauh daripada stabil dengan insiden keganasan dan ketegangan dilaporkan terus berlaku di beberapa kawasan, termasuk di pesisir pantai.
Menurut peluncur ombak itu lagi, ancaman keselamatan sentiasa wujud walaupun mereka berada di laut.
“Pada bila-bila masa, keadaan boleh menjadi berbahaya. Kami tidak pernah benar-benar rasa selamat,” katanya.
Selain ancaman keselamatan, kekurangan peralatan turut menjadi cabaran besar kepada komuniti kecil peluncur ombak di Gaza.
Abdel Rahim Al-Ustadh, 19, berkata, mereka terpaksa beradaptasi dengan apa sahaja yang ada untuk meneruskan sukan tersebut.
“Surf wax atau lilin khas untuk papan luncur tidak ada di sini. Kami gunakan lilin biasa untuk menggantikannya supaya masih boleh meluncur,” katanya.
Beliau turut menunjukkan papan luncur yang telah digunakan hampir dua dekad, yang kini menjadi satu-satunya peralatan yang masih mampu digunakan.
“Kami menjaga papan ini seperti harta paling berharga. Jika rosak atau hilang, mungkin kami tidak boleh teruskan lagi,” katanya.
Seorang lagi peluncur, Khalil Abu Jiyab, 18, berkata, sebelum perang, komuniti luncur ombak di Gaza pernah mempunyai lebih ramai ahli, namun kini hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih bertahan.
“Sebelum ini ada 17 orang. Sekarang hanya tinggal tiga,” katanya.
Walaupun masa depan kelihatan suram, beliau masih menyimpan harapan untuk suatu hari nanti dapat mewakili Gaza dalam pertandingan luncur ombak di luar negara.
“Di Gaza, tiada banyak yang boleh kami harapkan selain laut. Laut ini satu-satunya tempat kami melupakan segala tekanan hidup,” katanya.
Bagi mereka, ombak bukan sekadar air laut yang menghempas pantai, tetapi simbol kecil kebebasan yang masih tersisa di tengah-tengah kehidupan yang dilanda perang dan ketidakpastian. - AFP