SETELAH sekian lama hubungan kedua-dua negara dibelenggu ketegangan, ancaman ketenteraan dan pertikaian mengenai program nuklear, Amerika Syarikat (AS) dan Iran akhirnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara pada minggu lalu.
Langkah awal ke arah perdamaian itu kini meletakkan kedua-dua negara dalam tempoh 60 hari yang dianggap paling kritikal.
Ia bakal menentukan sama ada ia akan menjadi titik perubahan bersejarah atau sekadar satu lagi episod diplomasi yang berakhir tanpa hasil.
MoU itu kelihatan seperti formula terbaik untuk menamatkan konflik. Namun, sejarah hubungan Washington dan Teheran yang tidak pernah keluar daripada kitaran krisis telah mencetuskan persoalan utama iaitu sejauh mana kedua-dua pihak benar-benar bersedia untuk menunaikan janji yang telah dibuat?
Sepanjang beberapa dekad lalu, Washington dan Teheran telah melalui pelbagai rundingan, perjanjian serta siri pertemuan diplomatik berprofil tinggi yang sering digambarkan sebagai titik permulaan kepada era baharu hubungan kedua-dua negara.
Namun, kebanyakan inisiatif tersebut akhirnya terkandas di tengah jalan akibat perubahan landskap politik, krisis kepercayaan berpanjangan dan percanggahan kepentingan strategik yang sukar dikompromi.
Dalam tempoh dua bulan akan datang, AS dijangka menuntut bukti jelas bahawa Iran bersedia mematuhi syarat berkaitan program nuklearnya. Pada masa sama, Teheran pula mahu melihat komitmen sebenar dari Washington seperti dalam MoU berkenaan yang secara jelas memberi keuntungan besar kepada Teheran.
Pemerhati antarabangsa melihat fasa penentu itu sebagai ujian sebenar kepada kesungguhan kedua-dua pihak. Jika rundingan berjaya menghasilkan langkah konkrit, ia boleh buka jalan untuk menstabilkan situasi di Asia Barat. Namun, jika gagal, MoU itu bakal menjadi satu lagi dokumen dalam arkib sejarah diplomasi dunia.
Cabaran terbesar bukanlah pada 14 perkara yang dipersetujui, tetapi pada kepercayaan yang masih rapuh. Keyakinan tidak boleh dibina semula dengan satu majlis tandatangan secara digital atau kenyataan media semata-mata selepas kempen tekanan politik dan sekatan ekonomi yang telah menghakis kepercayaan kedua-dua pihak.
Ia akan menjadi penentu sama ada AS dan Iran mampu mencapai keamanan secara kekal atau satu lagi janji diplomatik yang gagal direalisasikan.