DALAM tempoh tidak sampai sebulan, negara dikejutkan dengan dua insiden membabitkan pelajar yang terjatuh dari bangunan sekolah.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di Seremban, Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari blok bangunan sekolah.
Terbaru, seorang pelajar Tingkatan Satu dari daerah Kinta, Perak pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan juga dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah.
Walaupun punca kedua-dua kejadian masih dalam siasatan, hakikatnya ia sekali lagi membuka perbincangan mengenai tahap keselamatan di sekolah.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah, namun pelbagai insiden yang meragut nyawa atau menyebabkan pelajar cedera dilaporkan berlaku dalam kawasan sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Masyarakat masih belum melupakan tragedi murid Tahun Tiga yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada September tahun lepas.
Meskipun setiap kes mempunyai punca dan latar belakang berbeza, semuanya membawa mesej sama, sekolah bukan lagi tempat yang boleh dianggap selamat secara automatik tanpa sistem perlindungan dan pemantauan mencukupi.
Melalui ruangan komen di media sosial susulan insiden pelajar terjatuh dari bangunan sekolah, pelbagai cadangan dikemukakan oleh orang ramai.
Antaranya memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV), menambah jeriji keselamatan di koridor dan tangga, memasang jaring keselamatan pada kawasan berisiko tinggi serta memperketatkan pemantauan guru.
Semua cadangan itu mempunyai asas yang munasabah, sekali gus menunjukkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan anak-anak ketika berada di sekolah selama hampir separuh hari.
Sebenarnya, langkah memasang CCTV bukan perkara baharu, sebaliknya Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperluaskan pemasangan CCTV terutama di sekolah berasrama terpilih pada tahun ini.
Melalui satu sidang media pada Mac lalu, KPM memaklumkan akan memasang 333 CCTV di sekolah asrama terpilih.
Bagaimanapun, tragedi yang berlaku kebelakangan ini memberi isyarat bahawa aspek keselamatan tidak boleh hanya tertumpu kepada sekolah berasrama semata-mata.
Sekolah harian biasa juga perlu diberikan perhatian sama. Persoalannya, mampukah semua sekolah dipasang CCTV dalam masa singkat? Jawapannya mungkin tidak mudah.
Kos pemasangan dan penyelenggaraan CCTV melibatkan peruntukan besar.
Justeru, pendekatan lebih praktikal boleh dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap risiko.
Kawasan dikenal pasti berisiko tinggi seperti tangga terbuka, koridor tingkat atas, laluan sunyi, bumbung yang boleh diakses pelajar dan kawasan belakang bangunan perlu diberikan keutamaan untuk pemasangan CCTV atau penambahbaikan keselamatan fizikal.
Selain itu, audit keselamatan bangunan sekolah perlu dilakukan secara berkala.
CCTV hanyalah alat bantuan, kehadiran guru bertugas, warden, pengawal keselamatan dan budaya saling mengambil berat antara warga sekolah tetap menjadi benteng utama dalam mencegah sebarang kejadian.
Apa yang lebih penting, setiap tragedi perlu dijadikan pengajaran. Kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku kematian atau kecederaan serius sebelum bertindak.
*Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian